Logo Tahun Melawat Malaysia 2020

KUALA LUMPUR – Para penganjur acara termasuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia disaran membatalkan kesemua program di bawah kempen Melawat Malaysia 2020 serta menunda kempen tersebut.

Saranan itu dikemukakan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) berikutan penularan wabak Covid-19.

Presiden LPPM, Alwi Shakir Abdullah berkata, tidak dinafikan krisis Covid-19 telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM3 bilion kepada negara.

Namun, katanya, peningkatkan pesakit Covid-19 juga akan memberi beban kewangan kepada negara melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pada ketika ini, terdapat banyak majikan telah terkesan terutamanya sektor penerbangan, perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan dan sebagainya.

“Berikutan itu, terdapat majikan mula menawarkan cuti tanpa gaji sehingga tiga bulan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Alwi Shakir Abdullah

Mengulas lanjut, Alwi berkata, penganjuran program tidak akan membantu memulihkan industri pelancongan pada ketika ini.

Ini kerana, katanya, pihak penawaran (supply side) dan permintaan (demand side) telah berada dalam ketidakseimbangan di mana berlaku lambakan penawaran namun kekurangan permintaan disebabkan faktor-faktor ekonomi.

Beliau kata, lebih wajar untuk pihak-pihak berkepentingan menjalankan kajian serta merangka program yang akan dilaksanakan selepas krisis ini berakhir.

Katanya, pada ketika ini pakej rangsangan ekonomi perlu ditumpukan kepada kedua-dua pihak iaitu penawaran (pemain industri) dan permintaan (pengguna).

Alwi turut memohon majikan menyediakan langkah keselamatan serta peralatan pelindungan diri termasuk persekitaran kerja yang selamat sebagaimana digariskan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan melalui Akta 514 (Akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan 1994).

“Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM mendoakan agar situasi ini agar segera pulih dan memohon rakyat Malaysia mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Perkembangan terkini menyaksikan sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

Kebanyakan kes baharu itu berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini. – MalaysiaGazette