Masjid Al Munawwarah, Seksyen 27, Shah Alam.

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan Masjid Al Munawwarah, Seksyen 27 di sini, ditutup sementara waktu termasuk solat fardhu berikutan seorang jemaahnya dipercayai dijangkiti virus COVID-19.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu tidak dikeluarkan oleh pihaknya dan masjid berkenaan tidak pun ditutup dan malah diarah terus dibuka.

“Apa-apa keputusan akan dibuat selepas JAIS membuat semua pertimbangan, saya telah arahkan masjid terus melakukan solat fardhu lima waktu dengan menetapkan langkah-langkah kawalan yang lebih ketat dan pembersihan permis perlu dilakukan segera dengan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penutupan masjid berkenaan, yang tular dalam laman sosial.

Mohd Shahzihan berkata pihak masjid juga diminta memaklumkan kepada jemaah agar mereka yang telah dikenalpasti positif atau sedang menunggu keputusan dan semua yang ada kontek dengan mereka yang dijangkiti COVID-19 untuk melakukan kuarantin di rumah masing-masing mengikut arahan Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, sebuah media tempatan menerusi laman webnya melaporkan masjid berkenaan ditutup buat sementara waktu hari ini, selepas seorang jemaahnya positif COVID-19 selepas pulang dari bercuti di Vietnam.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast