Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga kiri) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat kanan) bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2020.

PUTRAJAYA- Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE).

Selain Noor Azlan, Jawatan Kuasa Peringkat Tertinggi MTE yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dianggotai oleh Gabenor Bank Negara, Datuk Noor Shamsiah Yunos; Pengerusi The Edge, Datuk Tong Kooi Ong; Pengasas MERCY Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood; Pengarah Urusan Kumpulan Celcom Axiata Bhd, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim; Pengerusi Westports Malaysia, Tan Sri Gnanalingam; dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Menurut Muhyiddin, fungsi MTE utama MTE adalah mengenal pasti isu-isu semasa ekonomi dan memperakukan tindakan bagi memastikan ekonomi kekal mampan serta mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global.

MTE yang turut dianggotai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri  Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad itu juga perlu merangka pelan tindakan jangka pendek dan sederhana untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pelan tersebut juga penting bagi meningkatkan pelaburan asing dan tempatan serta memastikan pertumbuhan pembangunan sosio-ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Tambah Muhyiddin Jawatankuasa Peringkat Tertinggi itu perlu memastikan keputusan-keputusan yang telah diambil oleh Majlis tersebut dilaksanakan segera.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Peringkat Pegawai ditubuhkan bagi membantu Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (EAC) mengenal pasti isu-isu semasa. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan UPE JPM. Keahlian Jawatankuasa ini terdiri daripada pegawai-pegawai MOF, UPE JPM, BNM dan wakil-wakil sektor swasta.

MTE juga dilengkapi oleh satu Jawatankuasa Teknikal yang akan menyediakan laporan harian mengenai kedudukan ekonomi global dan domestik. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil daripada MOF, UPE JPM, BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beberapa Kumpulan Kerja (Working Groups) ditubuhkan bagi memantau perkembangan dan cabaran yang dihadapi di peringkat sektoral dan memberi input serta cadangan penyelesaian.

Antara sektor utama adalah pelancongan, pasaran buruh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembinaan, peruncitan dan industri makanan. Bilangan Kumpulan Kerja ini boleh ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan.

Setiap Kumpulan Kerja akan diketuai bersama oleh pihak kerajaan dan swasta.

MTE akan bermesyuarat setiap Isnin.- MalaysiaGazette