Kakitangan Kementerian Kesihatan giat menjalankan saringan di Masjid Sri Petaling.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Masjid Seri Petaling merayu semua peserta tabligh yang menghadiri Jor Qudama dan Ulama baru-baru ini supaya segera melakukan pemeriksaan kesihatan berikutan kebimbangan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

Abdullah Cheong dan Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia, Sri Petaling dalam rayuan itu meminta semua 28 markas (tempat syabguzari) di seluruh negara mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh dengan pihak berkuasa agar kerisauan, ketegangan dan tanggapan salah, jika berlaku daripada mana-mana pihak dapat diredakan.

”Pihak berkuasa krisis nasional yang terdiri daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam menangani krisis wabak yang melanda.

”Mereka telah mengingatkan kita berulang kali untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak tersebut.

”Semua mereka yang menghadiri Jor Qudama’ dan Ulama’ tempoh hari hendaklah segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline, untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan,” katanya pihak pengurusan itu dalam notis kepada ahli-ahli jemaahnya.

Tambahnya, semua aktiviti yang boleh menimbulkan kerisauan dan penularan wabak tersebut hendaklah dihentikan serta-merta buat masa ini.

Wakil pihak pengurusan Masjid & Madrasah Sri Petaling (dari kiri): Khairi Akbar, Ustaz Mansur Ismail & Dr Fauzi Othman

Untuk sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang dan tiada jemaah akan dihantar keluar dari markas sehingga keputusan mesyuarant selanjutnya.

”Kami harap semua keputusan ini akan dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Ingatlah bahawa semua ini adalah ujian daripada Allah SWT. Insya Allah kita ambil peluang ini untuk menghidupkan amalan di rumah masing-masing, banyakkan berdo’a, beristighfar dan menangis kepada Allah SWT, serta tingkatkan fikir risau umat dalam diri kita.

”Semoga Allah SWT memberkati semua usaha kita yang sedikit ini dan menjadikan pengorbanan semua sebagai
asbab hidayat seluruh alam hingga kiamat Insya Allah,” menurut notis itu lagi.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur sudah berjaya dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.

Hanya 1,634 individu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan sudah diambil sampel.

Manakala 2,932 peserta akan dilakukan pemantauan di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di masjid berkenaan.

Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan, katanya.
Siasatan itu dijalankan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, yang mengesahkan kes positif Covid-19 pertama di negara  itu mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

Kes berkenaan dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

Perhimpunan tabligh ini dianggarkan disertai oleh 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia. – MalaysiaGazette