KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa 18 Mac 2020, semua kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan bekerja dari rumah, kecuali mereka yang terlibat dengan fungsi teras kritikal yang akan beroperasi secara bergilir antara ibu pejabat PNB, pejabat gantian dan rumah masing-masing.

Dalam kenyataannya, PNB memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan operasi dan aktiviti perniagaan terus berjalan seperti biasa walaupun terdapat perubahan dalam cara bekerja.

Kakitangan telah disediakan dengan sistem serta peralatan yang diperlukan untuk beroperasi pada kapasiti penuh dalam situasi seperti sekarang.

Malah, sejak 5 Mac 2020 PNB telah mengaktifkan Pelan Kelangsungan Perniagaan (BCP) secara berperingkat merangkumi jadual kerja mengikut kumpulan, yang membabitkan Pasukan Kepimpinan PNB serta pasukan pelaburan teras dan operasi.

Pada masa yang sama, PNB telah melaksanakan pemeriksaan suhu badan di ibu pejabat dan juga di semua cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) seluruh negara, selain membataskan mesyuarat serta perjalanan kakitangan.
Setakat ini, tiada pengesahan kes Covid-19 dalam kalangan kakitangan PNB.

Semua cawangan ASNB akan terus beroperasi seperti biasa tetapi pada skala yang lebih kecil sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan.

Pemegang unit digalakkan untuk menggunakan portal dan aplikasi myASNB bagi transaksi yang tidak melibatkan penjualan semula unit, yang masih boleh dilakukan di cawangan ASNB atau mana-mana cawangan ejen bank. – MalaysiaGazette