KUALA LUMPUR – Filem lakonan pelakon tersohor India Selatan, Thalapathy Vijay atau Vijay terus menguasai pawagam seluruh dunia termasuk Malaysia sejak Khamis lepas.
Jika beberapa hari lepas, pengedar rasmi secara bersama oleh Veedu Production (Veedu) dan Five Star Trading (FST) membuat pengumuman kutipan pra jualan mencecah RM2.3 juta selepas membuka pembelian tiket awal tayangan.
Hari ini, MalaysiaGazette dimaklumkan tayangan GOAT sudah mencecah RM10 juta dalam tempoh empat hari tayangan bermula Khamis hingga semalam.
Menurut pengasas dan pemilik Veedu Production, Denes Kumar, beliau agak teruja dengan sokongan dan permintaan tayangan tambahan di 160 pawagam seluruh negara.
“Terima kasih kepada semua terutamanya kepada peminat tegar Vijay. Saya tidak cakap peminat kalangan India sahaja sebaliknya kaum-kaum lain. Sungguh mengkagumkan untuk tengok begitu ramai berterusan menonton.
“Ada juga sudah menonton filem ini berkali-kali. Ini memang sungguh luar biasa hebat,” katanya.
Goat yang merupakan filem aksi yang turut dibintangi Prashanth Thyagarajan, Prabhu Deva, Mohan, Jayaram, Sneha, Laila, Yogi Babu dan ramai itu mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 5 September lalu dengan tayangan awal pagi dan tidak seperti kebiasaannya.
Selain itu, salah seorang pelakon tempatan, Irfan Zaini juga berpeluang membawa watak kecil dan babak singkat dalam filem Goat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: