Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Perodua menangguhkan semua operasi di ibu pejabat, kilang pengeluaran, pusat jualan dan servis serta pusat Badan & Cat di seluruh negara mulai esok hingga 31 Mac ini, atau tertakluk kepada sebarang pengumuman baharu daripada pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penghantaran kenderaan baharu, servis serta perkhidmatan Badan & Cat dijangka  beroperasi semula hanya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tersebut tamat.

“Kakitangan cawangan kami yang berkenaan akan menghubungi pelanggan-pelanggan kami dalam tempoh ini sekiranya perlu untuk memberi penjelasan dan makluman mengenai situasi ini. Kami amat menghargai kesabaran anda buat masa ini.

“Kami berharap agar semua rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama penuh dengan mengikuti segala arahan kerajaan serta mengehadkan pergerakan mereka sebanyak mungkin untuk mengelakkan dari dijangkiti COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sekiranya pelanggan mempunyai sebarang isu berhubung kenderaan masing-masing di sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut, mereka boleh menghubungi talian bebas toll Perodua Auto Assist, 24 jam sehari sepanjang minggu di 1-800-88-5555.