Dr Dzulkifli Abdul Razak menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi,Datuk Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat pengiktirafan lima bintang daripada ‘Malaysia Research Assessment’ (MyRA) bagi tahun 2020 (Edisi ke-4 Penarafan Bintang MyRA).

Instrumen MyRA yang digunakan bertujuan mengukur antara lain kapasiti serta aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (RDC&I) di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bertaraf universiti, Kampus Cawangan Universiti Luar Negara serta Kolej Universiti.

Pencapaian diukur berdasarkan kriteria dan penanda aras yang ditetapkan bagi setiap indikator, namun tidak bertujuan untuk memberi kedudukan (ranking) tertentu antara institusi yang dinilai, sebaliknya memberi pengiktirafan (rating) yang terbahagi kepada enam tahap bintang.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, kali ini kedudukannya adalah lebih tinggi daripada penilaian tahun lalu, sekali gus menunjukkan kemampuan UIAM membangunkam projek-projek ‘flagship’ sejak pertengahan lalu 2018.

Pengiktirafan lima bintang membuktikan UIAM mendapat tumpuan sebagai pusat rujukan dalam bidang penyelidikan khususnya.

“UIAM kini mempunyai halatuju yang dirangka iaitu IIUM Roadmap 2019-2020 sebagai sasaran utama universiti yang lebih berorientasikan kepada membina kelestarian dan kesejahteraan kampus berlandaskan kepada SDG,” kata Dzulkifli.

Mengikut beliau lagi, sistem MyRA yang dicipta berdasar pengalaman universiti di United Kingdom dan Australia memberi pentunjuk dan kriteria yang lebih tepat dan jitu dari ranking berbentuk komersial yang sering diuar-uarkan.

Oleh itu, ia harus diberi sokongan kerana kerelevanannya yang meluas termasuk libatsama masyarakat.

Penarafan Bintang MyRA 2020 ini dikendalikan dan dilaksanakan oleh Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dan hasil penilaian dan pencapaian RDC&I dikategorikan kepada enam tahap dengan 6 bintang sebagai tahap tertinggi dan 1 bintang sebagai yang paling rendah. – MalaysiaGazette