Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR- Polis telah membuka 40 kertas siasatan berkaitan kenyataan berita tidak sahih tentang penularan Covid-19 di media sosial negara ini.

Kesemua kertas siasatan itu dibuka sepanjang kajian polis mulai 25 Januari lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis mengambil serius berkaitan kenyataan tidak sahih yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab berhubung Covid-19.

”Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Malah, kes tersebut turut diklasifikasikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan media tengahari tadi.

Tambah beliau, daripada kesemua kertas siasatan itu,  sebanyak 11 kes telah dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, tiga kes telah diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Manakala, katanya, 26 kes lagi masih dalam siasatan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa orang ramai untuk menghentikan perbuatan mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun memuatnaik atau berkongsi artikel yang tidak sewajarnya.

“Ia dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kegentaran dalam kalangan masyarakat.

“Ingin diingatkan  tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan perkara tersebut boleh mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 AKMM 1998 dijalankan

“PDRM juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati dengan sengaja mensensasikan isu berkenaan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette