KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini meluangkan masa meninjau pasukan Polis Diraja Malaysia yang bertugas melakukan sekatan jalan raya sempena Op Covid 19 di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Dalam tinjauannya itu, baginda menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pasukan petugas yang bertugas membendung wabak Covid-19.

Baginda yang memandu sendiri bersama anakandanya mahu melihat sendiri tugasan-tugasan yang dilakukan pasukan trafik PDRM itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari ketiga hari ini.

Semalam baginda menyumbang makanan tengah hari kepada petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta wakil Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan salam dan penghargaan kepada semua petugas di CPRC di atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast