Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 130 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,030 kes setakat ini.

Siasatan awal mendapati daripada 130 kes baharu, 48 kes adalah berkaitan dengan kluser perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kategori itu sebanyak 87 kes.

Manakala sehingga kini, seramai 26 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan rakyat Malaysia tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan mulai Rabu lalu  sehingga 31 Mac 2020, antara lain melibatkan larangan menyeluruh pergerakan bagi membendung penularan wabak jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Katanya, selama tempoh penguatkuasaan perintah ini, orang ramai diminta untuk berada di rumah.

“Walaupun tinggal di dalam rumah, rakyat Malaysia disarankan untuk kekal aktif, sama ada melalui senaman atau aktiviti fizikal.

“Pada masa kini terdapat pelbagai senaman di rumah yang boleh dilakukan,” katanya sambil memberikan beberapa contoh iaitu:

  • Senaman yang berbentuk kardio bagi yang mempunyai basikal senaman atau treadmill di rumah.
  • Senaman yang menggunakan berat badan sendiri, seperti push-upssquatsplanksburpees dan lounges (yang menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus), senaman Tabata dan senaman ringan seperti yoga atau tai chi.

Rakyat Malaysia juga, katanya, boleh kekal aktif dengan melakukan pelbagai bentuk tarian dan mengambil peluang untuk melakukan spring cleaning di dalam rumah.

Kajian menunjukkan bahawa senaman dan aktiviti fizikal adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan mood dan melegakan kebimbangan dan keresahan.

“Ia membantu mengasah minda, meningkatkan kekuatan otot dan kekuatan aerobik,” katanya.

Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi melalui pautan berikut:

http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus

Orang awam juga boleh menghubungi talian Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia:

https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette