KUALA LUMPUR – Polis Labuan mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 68 tahun di Bebuluh, Labuan semalam kerana tidak mengendahkan arahan untuk ke hospital.

Lelaki yang dipercayai kontak rapat kepada peserta jemaah tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling pada 28 Februari lalu ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Labuan dan pasukan perubatan Hospital Labuan pada pukul 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, polis telah menjalankan tugas menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan ujian saringan Covid-19 secara paksa ke atas lelaki itu.

Katanya, lelaki itu sangat diperlukan untuk hadir di Hospital Labuan bagi tujuan ujian saringan dan seterusnya menjalani sesi kuarantin berikutan subjek merupakan bapa (kontak pertama) kepada salah seorang ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

“Subjek disahkan sebagai kontak pertama hasil daripada siasatan yang telah dijalankan oleh pihak hospital kepada anaknya yang telah memaklumkan bahawa mereka tinggal serumah.

“Pada 17 Mac 2020 subjek telah diarahkan hadir secara sukarela bagi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Labuan tetapi subjek tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk menghadirkan diri oleh pihak Hospital Labuan,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Berikutan itu katanya, semalam sepasukan pegawai perubatan Hospital Labuan telah pergi ke rumah untuk membawanya ke hospital bagi menjalani ujian Civid-19 dan seterusnya menjalani kuarantin selama 14 hari. Sekali lagi, subjek enggan memberikan kerjasama.

Artikel berkaitan: Polis jejaki peserta himpunan tabligh

Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan telah meminta bantuan polis bagi melaksanakan perintah dan tugas tersebut.

“Sepasukan polis Labuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dengan kekuatan seorang pegawai dan dua anggota memberikan bantuan kepada pihak hospital dan telah menggunakan kekerasan secara minima seperti peruntukkan Seksyen 15(2) Akta yang sama.

“Subjek telah berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan,” katanya. -MalaysiaGazette