Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR – Mydin Mall bukan sebuah gedung beli-belah, sebaliknya ia beroperasi sebagai sebuah pasar raya.

Berikutan itu, pihak pengurusan sukar untuk menutup mana-mana bahagian, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Ia kerana Mydin Mall menjual pelbagai keperluan pengguna di setiap tingkat pasar rayanya.

Misalnya, tingkat satu di Mydin Mall cawangan Selayang menempatkan makanan.

Manakala tingkat kedua pula menempatkan pelbagai barangan kegunaan seperti sabun, lampin pakai buang, sanitari dan sebagainya.

Tingkat tiga pula ada pakaian, kasut, serta keperluan lain seperti kelengkapan kain kafan.

”Jadi bagaimana saya hendak menutup salah satu tingkat memandangkan semua tingkat menawarkan keperluan utama pengguna,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kenyataan itu dibuat selepas Mydin Mall membuka semua tingkat pasar rayanya, sedangkan mengikut pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan hanya membenarkan bahagian menjual keperluan makanan sahaja dibuka.

Perintah itu berkuatkuasa sejak 18 Mac hingga 31 Mac ini bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Menurut Ameer lagi, jika salah satunya ditutup sudah pasti menimbulkan masalah kepada orang ramai yang mahu membeli keperluan asas dalam keadaan genting sekarang.

“Kalau saya buka tingkat bawah yang menjual makanan sahaja, bagaimana pembeli mahu mendapatkan susu bayi dan kanak-kanak di bahagian atas?

”Begitu juga bagaimana jika ada pengguna yang mahu mendapatkan kain kafan yang dijual di tingkat pakaian jika tingkat ini tidak dibuka, sedangkan ia juga barang keperluan,” kata beliau lagi.

Oleh sebab itu, katanya, adalah tidak praktikal bagi Mydin Mall menutup tingkat tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, Ameer meminta kerajaan supaya lebih praktikal dan fleksibel berhubung keperluan pengguna khususnya dalam keadaan seperti hari ini.

”Kalau gedung beli-belah mungkin tidak ada masalah tetapi operasi Mydin Mall adalah sebuah pasar raya,” ujar beliau.

Malah, beliau menambah, dalam keadaan semasa, Mydin Mall dibuka awal setengah jam untuk membolehkan golongan warga emas dan kurang upaya membeli barangan dalam keadaan lebih selesa.

Selain itu, pasar raya berkenaan turut mengamalkan penjarakkan sosial dalam usaha bersama mengekang penularan koronavirus.

”Walaupun dalam keadaan sekarang kami berniaga tetapi perniagaan tetap dijalankan secara berhati-hati.

”Disebabkan itu, kami turut meminta promoter-promoter barangan bekerja supaya dapat bekerjasama memudahkan orang ramai yang datang membeli dalam keadaan cepat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Kenapa ada pasar raya besar beroperasi macam biasa?