Hospital Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dua lagi kematian direkodkan akibat Covid-19, masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan menjadikan jumlah kematian setakat ini sebanyak lapan orang.

Kes pertana melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan kes Vietnam.

Mangsa juga mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, mangsa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

“Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac 2020,” katanya.

Kematian kelapan yang merupakan kes-781 pula juga warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh.

Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Allahyarham telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 pada jam 4.00 petang. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

Dalam sidang media pukul 3.30 petang tadi, Dr Noor Hisham memaklumkan kematian seorang mangsa di Hospital Melaka dan tidak lama selepas Sarawak mengumumkan dua kematian melibat seorang ibu dan anak perempuannya.