SUASANA di sebuah kawasan rumah pangsa atau lebih dikenali sebagai ‘rumah flat’ di pinggir ibu kota kelihatan sunyi seperti dilanggar garuda.

Yang kedengaran hanyalah suara kanak-kanak menangis dan bayi yang merengek, lapar susu mungkin.

Rata-rata mereka adalah daripada golongan berpendapatan rendah.

Ada yang gaji tak sampai RM2,000 pun sebulan.

Dengan gaji sebanyak itu, ditambah dengan anak-anak yang ramai dan isteri yang tidak bekerja, pendapatan sebanyak itu sudah boleh dikira sebagai miskin.

Miskin bandar lebih tepat.

Bila kerajaan mengistiharkan langkah pergerakan terhad bagi mengawal penyebaran virus Covid-19, tidak banyak pilihan yang mereka melainkan bersungguh-sungguh patuh kepada arahan berkenaan.

Walaupun ini bermakna semua isi keluarga terpaksa bersesak-sesak dalam rumah sebesar tak sampai 600 kaki persegi itu, tak boleh keluar, tak boleh mencari rezeki, namun demi menjaga kesihatan dan demi mematuhi perintah kerajaan, mereka akur tanpa banyak soal.

Azmi (bukan nama sebenar), mempunyai enam anak yang masih bersekolah.

Dia hanya bekerja sebagai kelindan dengan sebuah kedai perabut, tidak jauh daripada flat sewanya.

Azmi hanya bergantung pada gaji hari, ada kerja, ada gaji.

Untuk menambah pendapatan, dia mengambil upah membasuh kereta di kedai basuh kereta milik kawannya.

(gambar hiasan)

” Bila perintah ini keluar, kedai perabut tutup, kedai basuh kereta pun tutup. Isteri saya hanya ambil upah menjaga budak, dia pun tak dapat buat apa-apa kerana ibu bapa dah tak hantar anak selama dua minggu.

“Pendek kata saya dan isteri hilang pendapatan untuk dua minggu ini, itu pun kalau kerajaan tak lanjutkan perintah ini. Apapun kami sedar semuanya dibuat untuk kebaikan, kami tak boleh pentingkan diri.

“Saya pesan pada anak-anak, walaupun kamu tak boleh keluar bermain (di taman permainan) dan terpaksa bersesak-sesak 24 jam dalam tempoh ini, kita kena redha, semoga Allah melindungi kita semua,” katanya.

Kisah Azmi hanyalah secebis daripada kisah lebih 7 juta penduduk yang menghuni ibu kota Kuala Lumpur. Itu belum campur penduduk-penduduk di tempat lain.

Disebabkan arahan ini, ramai yang hilang pendapatan, ramai yang hilang ‘privasi’, ramai yang terpaksa berhadapan dengan 1,001 macam kesukaran dan kepayahan.

Namun mereka sedar, semuanya dibuat demi kepentingan sejagat dan bukan dibuat suka-suka untuk menyusahkan rakyat.

Tetapi jika Azmi dan keluarga besarnya boleh berkorban mengapa tidak yang lain.

Dalam kegetiran dan kesukaran ini, kita masih membaca kisah seorang pakar jantung di Pulau Pinang yang ‘bertekak’ dengan anggota penguatkuasa di Pulau Pinang kerana tidak membenarkannya lalu dan berjogging di tempat yang dibenarkan.

Kita masih dengar kisah penduduk kampung yang memperlekehkan arahan kerajaan, siap buat kenduri ‘kepala kambing’ di Kedah.

Sebahagian warga asing Etnik Rohingya tidak mematuhi seruan kerajaan Malaysia dengan santai bersiar pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

Kita masih dapat melihat warga asing berkeliaran di Pasar Borong Selayang dan warga emas yang bermain dam aji diĀ  Klang, apa makna semua ini?

Anggota polis kelihatan memberikan nasihat kepada orang ramai yang berkumpul supaya bersurai susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Ops Covid-19 yang memasuki hari kedua di sekitar bandaraya Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 19 MAC 2020

Sehingga artikel ini ditulis, statistik menunjukkan jumlah kematian virus Covid-19 di negara kita mencecah lapan orang manakala jumlah keseluruhan yang dijangkiti meningkat kepada 1,183 orang.

Perkembangan terbaru juga menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 37 orang dengan 23 orang daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seorang kakitangan kesihatan dilihat memakai pakaian perlindungan diri berikutan terdapat dua pesakit positif novel koronavirus (2019-nCoV) yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur semasa tinjauan Malaysia Gazette di HKL, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 FEBRUARI 2020.

Kita tidak memerlukan selebriti Azwan Ali untuk ‘carutkan’ mereka yang enggan mematuhi tetapi pada masa yang sama kita juga tidak sanggup melihat orang awam terus-menerus memperlecehkan arahan kerajaan.

Semakin tinggi belajar bukan bermakna semakin banyak otak yang perlu diletakkan di kepala lutut.

Mungkin bila virus itu ‘melekat’ dalam tubuh kita atau mereka yang dari darah daging kita, masa itulah kekesalan mula bersarang.

Maaf ketika itu, segalanya sudah terlambat. – Malaysia Gazette

2 Komen

  1. Bila pihak berkuasa nak siasat pakar tersebut?

    Janganlah double standard, Mat kenduri kepala kambing kena, pakar jantung boleh terlepas bergitu saja?

    Rakyat menanti2 apa tindakan pihak berkuasa?

Comments are closed.