Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan logistik dan pengangkutan diberi kebenaran beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini bagi memastikan bekalan produk-produk penting dan kritikal yang dikeluarkan oleh kilang-kilang sampai ke pelanggan dan destinasi dalam masa serta dalam keadaan sempurna.

Justeru, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang berkenaan tidak perlu memohon kebenaran berasingan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi meneruskan operasi mereka di dalam tempoh PKP ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan logistik dan perkhidmatan itu hanyalah dibenarkan membawa atau mengangkut barang-barang dan hasil produk yang dihasilkan syarikat yang telah diberi kebenaran dan perlu beroperasi pada kadar tenaga kerja yang minimum.

”Diharapkan syarikat-syarikat perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang beroperasi akan mematuhi syarat-syarat ini, bagi mengelak dari sebarang tindakan diambil ke atas mereka dan syarikat yang dibenarkan beroperasi. Ini akan dapat memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan masyarakat tanpa sebarang
halangan,” katanya.

Bagi kilang pembuatan yang telah dibenarkan untuk beroperasi tetapi menggunakan perkhidmatan syarikat logistik dan pengangkutan swasta/inidividu, syarikat/individu tersebut perlu memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri untuk diperakukan. – MalaysiaGazette