KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggota daripada KD Mahawangsa telah disyaki menghidapi Covid-19.

Anggota tentera itu disyaki selepas isteri beliau bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidapi Covid-19.

“Pada ketika ini, seluruh keluarga anggota yang diklasifikasikan sebagai Person Under Investigation (PUI) sedang menjalani kuarantin seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau
jangkitan Covid-19 diterima.

Tindakan yang sama telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) diisytiharkan dan prosedur itu telah dilaksanakan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi Kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac yang lalu.

Sehingga kini, tiada anggota TLDM yang disahkan positif Covid-19.

Justeru, masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan hendaklah mematuhi peraturan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan Covid-19.- MalaysiaGazette