KETIKA saya menulis artikel ini, jumlah kes kematian disebabkan jangkitan virus Covid-19 di negara ini telah meningkat kepada 10 orang. Terbaru seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun. Menurut laporan, korban terbaru itu merupakan pesakit kes ke-259 dan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh.

Setakat tengah hari tadi, terdapat 123 kes baru yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes. Seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, sebanyak 22 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, Allah…

Nampaknya tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac di seluruh negara sangat tepat pada masanya walaupun tak kurang juga ada cakap-cakap yang mengatakan tindakan tersebut agak sedikit terlewat.

Perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Alasan beliau keutamaan kerajaan adalah mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. OK. Masuk akal.

Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Di Selangor sendiri, sebagai contoh, ada ‘tambahan’ terhadap peraturan berkenaan.Kedai serbaneka masing-masing hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja manakala semua restoran, restoran hotel, restoran 24 jam hanya dibenarkan beroperasi secara pembelian bawa balik (take away) dan khidmat penghantaran (delivery) dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam sahaja. fuh!

Yang pasti, walaupun baru beberapa hari perintah kawalan pergerakan ini bermula, rakyat mula resah dan tak keruan. Masih ada yang tak mampu nak ‘hadam’ peraturan ini dan terus menjalankan aktiviti mereka seperti biasa, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Akhirnya kerajaan mengambil langkah lebih tegas. Bermula 12 tengah malam tadi, pasukan tentera pula dikerah bagi membantu pihak polis menguatkuasakan larangan ini.

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan anggota polis bersiap sedia dalam Ops Covid-19 pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2020

Nampak tak betapa resah dan gelisahnya kita walhal yang disekat cuma pergerakan dan aktiviti luar. Masih boleh untuk bekerja (bagi yang dibenarkan berbuat demikian) dan masih lagi boleh ke pasar untuk membeli keperluan.

Semua ini mengingatkan saya pada seorang lelaki tua bernama Salleh Taib atau lebih dikenali sebagai Pak Leh. Ini adalah pengalaman saya sebagai wartawan jenayah yang berpeluang mengenali susuk tubuh dan mendalami isi hati lelaki dari Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering, Perak ini.

Segalanya bermula pada tahun 2006.

Ketika itu saya dihantar oleh bekas majikan saya, Utusan Malaysia ke Penjara Taiping untuk bertemu lelaki berusia dalam lingkungan 60 tahun itu. Ini kerana, pada hari tersebut, satu sejarah bakal tercipta kerana beliau dan rakannya, Jamil Ahmad, bakal dibebaskan setelah lebih 30 tahun meringkuk dalam penjara!

Mereka berdua ketika itu mencatat rekod sebagai banduan paling lama ditahan dalam penjara Malaysia!

Pak Leh dan Jamil melakukan kesalahan rompakan senjata api di Kedah pada tahun 1979. Mereka ketika itu telah merompak duit gaji peneroka Felda sebanyak RM50,000. Namun, belum sempat membelanjakan wang tersebut, mereka akhirnya terperangkap apabila ada kawan mereka yang meminjamkan senjata pada mereka berdua, berjaya ditangkap oleh pihak polis.

Setelah disiasat, pihak polis dapat kenalpasti Pak Leh dan Jamil suspek dalam kes berkenaan. Mereka berdua dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat disamping hukuman enam sebatan rotan setiap seorang.

Diringkaskan cerita, setelah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari iaitu bersamaan dengan lebih dari separuh umur mereka sendiri, akhirnya mereka berdua diberi pengampunan oleh Sultan Kedah ketika itu iaitu Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Setelah dibebaskan, Pak Leh terus menetap di rumah bapanya di Changkat Jering manakala Jamil pulang ke Kedah bersama keluarganya.

Saya masih ingat, bagaimana sebelum itu saya telah diberi ‘penghormatan’ oleh Jabatan Penjara untuk masuk ke bilik kurungan Pak Leh, mengiringi beliau bertemu pengarah penjara, melihat proses dokumentasi dan yang paling sebak, melihat bagaimana beliau buat kali pertama sejak 30 tahun memeluk bapanya sebaik saja dibebaskan.

Ada satu peristiwa lucu pada hari pembebasan tersebut.

Selepas pembebasannya, saya mengiringi Pak Leh pulang ke kampungnya. Ketika berada di rumah, Pak Leh tiba-tiba meminta tolong pada saya untuk menghubungi sanak saudaranya bagi memaklumkan yang beliau telah pun dibebaskan dari penjara.

Kebetulan Pak Leh masih menyimpan nombor-nombor sanak saudaranya itu. Ia diberikan sewaktu mereka melawat Pak Leh di penjara. Tanpa berfikir panjang, saya menghulurkan telefon bimbit saya.

Pak Leh kemudian mengambil telefon bimbit tersebut. Agak lama dia memerhatikannya. Dibelek-beleknya telefon itu. Saya masih tidak dapat mengagak kenapa beliau berbuat demikian.

Beliau kemudian menekan-nekan semua punat yang ada sebelum terus mengucapkan ‘Assalamualaikum’. Ketika itu beliau memegang telefon itu dalam posisi terbalik!

Cepat-cepat saya mengambil semula telefon bimbit berkenaan. Ketawa saya dibuatnya.

“Maafkan Pak Leh nak…selama 30 tahun Pak Leh dalam penjara, pegang telefon takdak wayar ni pun tak pernah, apatah lagi tau cara macam mana nak guna…,” katanya sambil tertunduk malu.

Tiba-tiba air mata saya bergenang. Saya rasa bersalah sangat kerana mentertawakan beliau. Terus saya genggam tangannya dan meminta maaf.

“Maafkan saya Pak Leh, terlupa saya Pak Leh lama sangat duduk ‘kat dalam’ tu,”

Pak Leh kemudian mengangkat mukanya. Terus dipeluknya saya. Setelah bapa saya meninggal dunia lebih 10 tahun lamanya, seingat saya itulah kali pertama air mata saya tumpah untuk sekian kalinya.

Hampir lima minit kami berdua berpelukan.

Yang kedengaran ketika itu hanyalah esakan tangisan Pak Leh. Berjurai airmatanya membasahi baju saya.

Pak Leh kemudian meneguk air teh kosong yang dibuat oleh anak lelakinya. Ketika beliau disumbat ke dalam penjara, anaknya itu baru berusia lima tahun.

Beliau kemudian tidak menunggu lama untuk meluahkan isi hatinya pada saya.

“Anakku Syahril…bukan mudah untuk hidup terkurung. Sehari tak keluar rumah pun cukuplah, kita dah rasa bosan yang teramat sangat. Apatah lagi banduan macam Pak Leh, bukan sehari, tetapi lagi sebulan nak cukup 31 tahun!

“Kami dikurung dalam tembok tinggi, duduk dalam bilik kecil yang panas, adakalanya kalau dah terlalu ramai ‘yang masuk’, kami berhimpit-himpit sampai nak tidur pun kena ambil giliran.

“Dah nama pun banduan, masing-masing bukannya ada sejarah perangai yang elok-elok, semuanya hati kering, semuanya nak tunjuk jaguh, nak tunjuk handal…adakalanya benda kecil pun boleh jadi besar. Bergaduh ni boleh dikatakan sentiasa saja ada.

“Nasib baiklah Pak Leh bekerja dalam tu, bolehlah juga tengok matahari lama sikit tetapi lepas tu tetap kena kurung balik. Adakalanya Pak Leh rasa nasib haiwan kat zoo pun lebih baik daripada Pak Leh…cuma Pak Leh tak sampai ke peringkat nak suruh Tuhan tarik nyawa Pak Leh sahaja, Alhamdulillah Allah tetapkan iman Pak Leh,” katanya dalam nada yang perlahan.

Namun dalam pada itu, Pak Leh tak henti-henti mengucapkan rasa syukurnya pada Allah kerana dalam penjara jugalah, beliau berpeluang mendekati dirinya dengan Tuhan.

Ketika di dalam penjara, beliau berpeluang mengaji dan menghafal Al-Quran. Malah Pak Leh mengakui, sekiranya dalam tempoh 30 tahun itu beliau berada di luar penjara, beliau mungkin tidak menjadi ‘manusia’.

Takdir menentukan. Persahabatan saya dengan Pak Leh tidak bertahan lama.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di rumah adik perempuannya di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam, Taiping pada 3 Mac 2012. Ternyata Pak Leh hanya sempat merasai ‘nikmat’ kebebasan cuma enam tahun sahaja lamanya.

Apa yang boleh kita belajar dari kisah Pak Leh terutama di waktu wabak Covid-19 sedang menggila sekarang ini.

Mudah. Hargailah nikmat kebebasan ini selagi ia tidak direnggut oleh Tuhan.

Tempoh sekatan pergerakan selama dua minggu inilah gunakanlah sebaik-baiknya untuk akur pada arahan kerajaan bagi membendung virus berbahaya ini

Tidak mustahil tempoh ini akan dilanjutkan sekiranya kerajaan mendapati ia masih gagal menurunkan jumlah mereka yang dijangkiti.

Apalah sangat tempoh dua minggu ini berbanding 30 tahun masa yang terpaksa dihabiskan oleh Pak Leh dalam penjara. Pak Leh tak pernah dengar virus ini, mungkin ia tak wujud di zamannya, tetapi ada iktibar yang boleh kita pelajari dari kisah beliau.

Musahabahlah…kenanglah kembali dosa kita pada alam, pada manusia. Bala itu tidak diturunkan begitu sahaja, banyak perkara dan benda yang kita boleh pelajari daripadanya.

Mungkin sedikit sebanyak antara bait-bait puisi lagu Berita Untuk Kawan oleh penyanyi Ebiet G. Ade ini boleh kita renungkan.

“Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa, atau alam mulai enggan, bersahabat dengan kita…cuba kita bertanya pada rumput yang bergoyang…”

Al-Fatihah buat Pak Leh. Saya hilang kata-kata. – Malaysia Gazette

1 Komen

  1. Ya kenangan banyak menghimpit kehidupan.Begitu jugs saya dengan Utusan Melayu/Malaysia dahulu. Al-Fatihah.

Comments are closed.