Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menyampaikan taklimat ketika menerima bantuan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bagi membantu anggota polis dalam Ops Covid-19 pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2020

PETALING JAYA – Walaupun tidak memberikan apa-apa perincian atas sebab keselamatan, pihak polis memaklumkan telah berjaya menjejaki tabligh suspek Covid-19 di sekitar kawasan ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, beliau tidak boleh mendedahkan apa-apa butiran berkaitan perkara itu buat masa ini kepada umum.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan pada bila-bilq masa.

“Memang ada tabligh-tabligh ini di PJ juga. Kita ada kesan. Tapi saya tiada sebarang liberty untuk kata apa-apa tentang perkara ini.

“Biarlah kami bekerjasama dengan KKM dulu,” katanya ringkas ketika disoal sama ada terdapat tabligh-tabligh dipercayai positif wabak Covid19 di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal 

Beliau ditemui selepas taklimat mengenai kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Rejimen Askar Melayu Diraja bagi menjayakan Op Covid-19 di sini.

Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjejaki seramai 4,000 peserta ijtimak tabligh di Masjlid Seri Petaling yang dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak semua peserta program berkenaan tampil membuat saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peserta ijtimak itu yang belum dapat dikesan segera tampil membuat saringan COVID-19.

Dianggarkan lebih 10,000 orang terlibat dalam perhimpunan tersebut membabitkan ahli jemaah dari pelbagai negara.

Daripada jumlah tersebut, difahamkan lebih separuh terdiri daripada jemaah Malaysia.

Sehingga petang tadi, Malaysia telah mencatatkan 10 kematian dengan yang terbaru seorang seorang lelaki berusia 74 tahun dari kluster tabligh meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

Pada hari ini juga seorang doktor pakar meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dan beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.- MalaysiaGazette