Datuk Sahabudin Abd Manan

GEORGE TOWN – Polis menafikan terdapat seorang ‘doktor tabligh’ yang menjalani ujian COVID-19, kononnya telah melarikan diri dari bilik isolasi Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam, sebaliknya berlaku salah faham berhubung perkara tersebut kerana dia keluar untuk menunaikan solat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya ada menerima satu laporan polis daripada doktor bertugas di wad kecemasan HSJ memaklumkan, terdapat seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga jemaah tabligh, telah melarikan diri dari bilik isolasi dalam kejadian 8.20 malam tadi.

“Lelaki yang bekerja sebagai doktor di sebuah klinik swasta itu, sebelum ini menghadiri Himpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini telah hadir di wad kecemasan hospital tersebut, pada pukul 7 malam untuk ujian COVID-19.

“Sebenarnya dia telah memaklumkan kepada doktor lain di situ untuk menunaikan solat, namun seorang doktor lain pula menyangka lelaki itu melarikan diri dari bilik isolasi dan terus membuat laporan polis. Pemeriksaan dan siasatan kami mendapati, dia hanya keluar menunaikan solat…ia hanya salah faham,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sejak semalam, tular di media sosial laporan polis berhubung seorang lelaki yang melarikan diri dari bilik isolasi HSJ, dan orang ramai diminta berhati-hati kerana kononnya dia disyaki COVID-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor turut menafikan mesej tular, berhubung enam lelaki yang juga jemaah tabligh yang tinggal di kawasan perumahan Penang Golf Resort, Bertam Kepala Batas, yang enggan menjalani ujian COVID-19.

Katanya mesej tular itu mendakwa enam lelaki tersebut menyertai Himpunan Ijtimak Tabligh itu, namun hasil pemeriksaan dan siasatan pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di rumah mereka mendapati, semua mereka hanya pergi ke perhimpunan tabligh di Kota Marudu, Sabah dan bukan di Masjid Sri Petaling.

“Semua enam lelaki berusia 30 hingga 55 tahun itu juga telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebanyak dua kali iaitu di Hospital Kota Marudu, pada 11 Mac dan ujian kedua pada 17 Mac di HSJ. Hasil ujian kedua-duanya negatif, malah mereka telah mematuhi arahan KKM dengan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu, yang boleh menganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

— BERNAMA