Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2020

PUTRAJAYA – Purata seorang daripada setiap 10 jemaah tabligh Masjid Jamek Seri Petaling yang melakukan saringan didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat ini menurut beliau, Kementerian Kesihatan telah menjalankan saringan terhadap 11,000 jemaah dan mendapati 743 daripada mereka positif wabak tersebut.

“Yang positif di kalangan jemaah tabligh adalah 743 kes. Saringan yang dilaksanakan ialah 11,000 dan sampel adalah 6,700.

“Tapi positif hanya 1 daripada 10 orang yang kita saring,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Menurut beliau, maklumat terkini menunjukkan terdapat lebih 14,500 jemaah tabligh telah hadir ke masjid itu sebelum ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengesahkan maklumat bahawa seramai 11 jemaah tabligh dari Malaysia yang menyertai perhimpunan di Sulawesi baru-baru ini telah ditahan oleh Polis Marin Tawau, Sabah semalam.

Hasil daripada itu, kesemua mereka telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan telah dikuarantin.

Bagaimanapun, keputusan lannut ujian kesemua jemaah itu masih belum diperoleh.

“Kita telah kuarantin mereka dan kita tengah laksanakan ujian saringan dan ujian teah diambil kita hanya menunggu keputusan.

“Pada 15 Mac saya telah adakan pertemuan dengan pemimpin tabligh dan mereka memaklumkan kepada saya, lebih kurang 85 orang telah hadir perhimpunan Sulawesi.

“Jadi kita anggarkan dalam jumlah mungkin 80-100 orang keseluruhan rakyat negara ini menyertai himpunan berkenaan,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan acara perhimpunan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia itu membabitkan ribuan masyarakat Islam di wilayah Sulawesi Selatan dan dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac.

Bagaimanupun, penganjur dilaporkan membatalkan perhimpunan itu berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette