Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Kira-kira 10 peratus atau tiga juta orang yang masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dipandang enteng kerana ia satu jumlah yang besar yang perlu dikawal.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan dalam menguatkuasakan PKP kerana ia merupakan langkah terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

Justeru,katanya masyarakat perlu faham ia dilaksanakan atas pertimbangan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Keputusan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga adalah satu yang wajar agar PKP ini dapat dilaksanakan atau dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin.

“Justeru, peranan ATM yang bermula pada 22 Mac lalu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah membantu PDRM dalam mengadakan rondaan, sekatan jalanraya, mengawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan awam yang berisiko tinggi.

“Melalui pelaksanaan hari pertama, saya melihat kolaborasi ATM dan PDRM ini tidak perlu dipertikaikan terutama sejauh mana peranan yang dibawa oleh ATM. Ini kerana kita perlu bertindak segera dalam apa jua cara dalam menangani wabak ini,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan untuk membantu PDRM yang mana anggota-anggota ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan di 405 lokasi Sekatan Jalan Raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari.

Tambah beliau, walaupun pematuhan PKP mencapai kadar pematuhan 90 peratus namun kita tidak boleh memandang enteng dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar.

Menurut beliau, peratusan tersebut melibatkan kira-kira tiga juta orang dan ia merupakan satu jumlah yang besar.

Kegagalan, ujarnya, bukanlah suatu pilihan di dalam ATM dan justeru itu, apabila tugasan diberi untuk membantu PDRM, ATM secara langsung akan membantu memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mematuhi sebarang perintah dan arahan yang sah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, ATM juga bersetuju untuk penguatkuasaan PKP diberi tumpuan lebih kepada kawasan yang berisiko tinggi seperti lokasi pasar dan pasar raya di mana didapati sehingga kini pengguna didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita tular terutama melibatkan informasi, gambar, video dan rakaman suara yang menunjukkan aturgerak ATM pada skala besar mahupun perlakuan tidak munasabah yang bakal diambil oleh anggota tentera.

“Ini kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik dan secara tidak langsung menunjukkan kaedah yang tidak benar dalam penguatkuasaan PKP ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Membantu memberi nasihat,hmmm tunggulah penambahan pesakit positif,semua ni mengarut lah tolong bertindak lebih agresif cukup lah demgan nasihat ni..

Comments are closed.