Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (tengah) bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Malaysia mencatat tiga lagi pertambahan kematian berkaitan wabak Covid-19 hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 14 orang setakat ini yang mana mangsa kes yang ke-1114, ke-1006 dan ke-595.

“Kes kematian ke-12 adalah kes ke-1114 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau adalah tabligh jemaah yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang.

“Kes kematian ke-13 adalah kes ke-1006 berumur 49 tahun lelaki warganegara Malaysia dan beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak adalah anak kepada kes ke-1031.

“Kes kematian ke-14 adalah kes ke-595 berumur 51 tahun, perempuan, warganegara Malaysia. Beliau adalah kenalan rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) di sini hari ini.

Kes kematian ke-11 disahkan meninggal dunia pukul 9.05 malam tadi di Unit Rawatan Rapi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM.

Allahyarham seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun telah masukkan ke wad pada Rabu, 18 Mac dengan simptom demam dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata,  sebanyak 212 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, kes itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,518 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 212 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling,” katanya. – MalaysiaGazette