Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (dua kiri) bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2020

PUTRAJAYA – Keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini bergantung kepada nisbah kes kematian di sebuah negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kematian global adalah 4.5 peratus daripada jumlah kes positif yang dicatatkan.

Jelas beliau, ketika ini negara mencatatkan 1,518 kes positif Covid-19 dengan kes kematian 14 orang.

“Sepatutnya untuk melanjutkan (PKP), kes kematian yang perlu dicatat Malaysia adalah 60 orang ketika ini. Kita akan memantau lebih dekat.

“Saya tidak kata bukan tidak perlu (lanjut), apa yang penting perkhidmatan terbaik untuk keselamatan pesakit.

“Kita akan meningkatkan peralatan dan kepakaran yang sedia ada,” katanya pada sidang di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada PKP perlu dilanjutkan atau mengisytiharkan darurat memandangkan jumlah kes baharu dan kematian semakin meningkat. – MalaysiaGazette