Reaksi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan untuk melakukan ujian saringan ke atas semua jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling baru-baru walaupun mereka tidak memiliki simptom sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam perbincangan hari ini dan pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan peserta terbabit.

Menurutnya, sekiranya keputusan disahkan positif, mereka akan dirawat di hospital.

“Sekiranya negatif, kita akan susuli dengan rawatan lain,” katanya pada sidang media di KMM di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan terhadap 13,000 jemaah dan 6,700 sampel mereka telah diambil.

“Daripada jumlah itu, 970 disahkan positif.

“Daripada 1,518 kes positif ketika ini, sebanyak 62 peratus melibatkan kluster tabligh,” katanya.

Perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini dihadiri oleh 14,500 jemaah.

Dr Noor Hisham berkata, KKM telah mengenalpasti beberapa kluster terbaharu yang berkaitan dengan kluster tabligh.

“Antaranya, kluster majlis perkahwinan dan surau yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan kluster tabligh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM kini merancang untuk membuat pengambilan 2,000 kakitangan baharu yang melibatkan pesara doktor.

Jelas beliau, proses pendaftaran sedang dilakukan untuk mengetahui latar belakang pemohon.

“Proses sedang berjalan ketika ini yang turut melibatkan permohonan daripada NGO,” katanya. – MalaysiaGazette