Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat bertugas kepada anggota tentera dalam membantu pasukan polis membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam ucapan ringkas itu, beliau berharap dengan kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat meningkatkan peratusan pematuhan rakyat kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selamat bertugas Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu pasukan PDRM membendung penularan wabak Covid-19.

“Semoga kehadiran mereka dapat meningkatkan peratusan pematuhan rakyat kepada Perintah Kawalan Pergerakan,” kata menteri kanan itu dalam ucapan menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Anggota tentera mula dikerahkan membantu anggota polis bermula semalam (Ahad) berikutan kedegilan orang ramai mematuhi arahan berada dalam rumah.

Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Dalam tempoh itu, orang ramai dilarang berada di luar rumah atau menghadiri sebarang perhimpunan, baik keagamaan mahupun persendirian. – MalaysiaGazette