KOTA KINABALU – Seramai 100 orang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara terpilih untuk menyertai Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024, baru-baru ini.
Majlis Flag Off program tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, selain Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Menurut Saraswathy, misi sukarelawan ini adalah satu daripada platform yang penting kerana ia menjadi tapak integrasi nasional individu dari latar belakang yang berbeza untuk bersatu demi matlamat yang lebih besar.
“Misi Sukarelawan Siswa juga menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti ini agar semangat sukarelawan dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat.
“Penyertaan dan penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang bertunjangkan kesukarelawan di pelbagai peringkat juga mampu melahirkan belia yang bersemangat patriotik dan muhibah yang tinggi,” katanya.
Program ‘Ini Warisan Kita’ adalah satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara yang dilancarkan pada tahun 2023, dan merupakan salah satu pengisian utama program flagship kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia Madani.
Sehingga tahun 2023, sebanyak tujuh misi sukarelawan siswa ke Sabah telah dijalankan di 36 buah lokasi, dengan penglibatan seramai 608 sukarelawan siswa yang telah melaksanakan sebanyak 1,054 projek sukarelawan.
Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah yang berlangsung bermula 1 hingga 18 September ini menyaksikan sukarelawan akan dihantar ke enam daerah berasingan iaitu Penampang, Kudat, Kota Belud, Beaufort, Papar, dan Kota Kinabalu.
Para pelajar akan melaksanakan beberapa projek utama seperti membaik pulih Kompeni A, Batalion 2, infrastruktur sekolah dan masjid di lokasi yang terlibat.
Para peserta juga akan mengadakan projek sukarelawan berdasarkan enam teras kesukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) mengikut keperluan lokasi. – MalaysiaGazette