Petugas kesihatan Kementerian Kesihatan menyimpan sampel pemeriksaan salah seorang warga asing yang membuat saringan kesihatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kematian terbaharu akibat wabak Covid-19 direkodkan malam ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang.

Allahyarham merupakan rakyat tempatan berusia 75 tahun dan mempunyai latar belakang beberapa penyakit kronik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac lalu.

Beliau kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac dan kesihatan Allahyarham telah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan.

Mangsa disahkan positif Covid-19 sehari selepas itu.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020 jam 7.40 malam. Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook. 

Siang tadi satu kematian dilaporkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor. – MalaysiaGazette