Nama Hawa Rizwana menjadi tular di media sosial kerana memiliki wajah seiras selebriti terkenal, Neelofa.

KUALA LUMPUR – Tuah dan rezeki menjadi milik personaliti televisyen, Hawa Rizwana Redzuan apabila dia dilantik sebagai Wajah Wirdora 2020.

Wirdora merupakan jenama aksesori berprestij yang semakin mendapat tempat di pasaran untuk golongan wanita dan lelaki.

Antara aksesori wanita keluaran Wirdora merangkumi kerongsang, pin tudung dan cincin skaf manakala rekaan aksesori khusus untuk lelaki ialah butang baju Melayu dan kafling yang semuanya dihiasi tatahan Kristal Swarovski.

Hawa yang merupakan pembaca berita berkata, dia menerima tawaran pengasas Wirdora, Wirdalina Tauhed selepas yakin dengan kualiti rangkaian produk keluaran jenama itu.

Aksesori wanita keluaran Wirdora merangkumi kerongsang, pin tudung dan cincin skaf.

Jelasnya, dia mula mengenali Wirdalina pada tahun lalu menerusi kakak iparnya yang juga pengguna setia Wirdora.

“Saya bermula sebagai model untuk Wirdora dahulu dan kemudiannya baru ditawarkan sebagai Wajah Wirdora.

“Selepas menggunakan aksesori mereka, kualiti memang terbaik kerana memiliki jarum pin yang tajam sekali gus tidak merosakkan kain tudung.

“Pada masa sama, saya sudah lama kenal dan selesa bekerja dengan pihak Wirdora serta kami seperti ada keserasian,” katanya pada majlis pelancaran butik pameran Wirdora di Ampang di sini baru-baru ini.

Butik pameran pertama Wirdora dibuka di Ampang.

Hawa sebelum ini merupakan penyampai Berita TV9 dan kini merupakan penyampai Buletin Utama di TV3. Namanya menjadi tular di media sosial kerana memiliki wajah seiras selebriti terkenal, Neelofa.

Sementara itu, Wirdora diasaskan oleh Wirdalina pada Mei 2017 yang hanya menggunakan kristal Swarovski asli yang diimport dari Austria.

Sebagai rakan kongsi jenama Swarovski yang sah, kesemua batu kristal Swarovski Wirdora adalah asli, malah setiap pembelian turut disertakan dengan kod nombor dan tag pelindung, untuk kegunaan pembeli bagi membuat kesahihannya di laman web Swarovski.

Wirdora dua kategori produk iaitu luxe series dan standard series. Bagi perhiasan luxe series misalnya, terdapat aksesori yang diberi sentuhan rhodium, bersadur emas ros 18 karat, bersadur emas putih 18 karat berserta pin tahan karat.

Pengasas Wirdora, Wirdalina Tauhed (kanan).

Seleksi produk Wirdora juga melalui ujian kawalan kualiti yang sangat ketat seperti ciri keutuhan dan ujian ketajaman (pin). Bagi keluaran aksesori kategori luxe, ianya didatangkan dengan jaminan selama setahun dan perkhidmatan selepas jualan.

Dalam pada itu, Wirdalina, 37 memulakan perniagaan aksesori itu bermula dari rumah kerana menyedari kekurangan jenama tempatan yang mengeluarkan aksesori wanita.

Ibu beranak lima itu hanya bermodalkan hanya RM200 sebelum Wirdora pantas mencipta permintaan yang tinggi hingga mencatat jualan RM1 Juta dalam masa setahun.

Sehingga kini, jenama ini sudah memasuki pasaran Brunei malah berjaya membuat penampilan di pentas berprestij London Fashion Week pada Februari yang lalu. Wirdora adalah satu-satunya produk aksesori keluaran tempatan yang terpilih ke pentas peragaan berprestij itu.

Produk Wirdora bermula daripada RM18 hingga RM350 dan boleh didapati secara atas talian di shop.wirdora.com dan luar talian.

Bagi pembelian secara luar talian boleh didapati di kedai fizikal, Fashion Valet yang terletak di Publika, Bangsar Village II dan IOI City Mall, Putrajaya. – MalaysiaGazette