KUALA LUMPUR – Orang awam yang pulang ke kampung tidak dibenarkan kembali ke rumah mereka untuk bertugas sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat trend peningkatan penduduk bandar pulang semula ke kediaman mereka.

“Trend yang kita lihat hari ini ialah masyarakat kita yang pulang ke kampung telah mula menunjukkan mereka ingin pulang ke tempat kerja dan kediaman di bandar besar.

“Saya harap perkara ini tidak dilakukan. Seperti kita kata dan nasihatkan terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Tambah beliau, anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pemeriksaan di 23 plaza tol untuk memastikan tiada yang kembali ke rumah masing-masing sebelum tamat tempoh PKP pada 31 Mac ini.

“Pihak polis sudah mengadakan sekatan di 23 tol untuk menyekat masyarakat yang mahu kembali ke tempat kerja masing-masing dan pemandu akan diminta kembali semula ke kampung,” tambahnya.

Dalam pada itu Ismail berkata, kerajaan akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk kawasan berisiko tinggi yang diklasifikasikan sebagai zon merah COVID-19.

Jelas beliau, perkara tersebut sedang dibincangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita akan mengeluarkan perincian lebih mendalam mengenai kawasan zon merah kerana banyak perkara yang perlu diperincikan sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Sebagai contoh kawasan Gombak. Di mana kawasan khusus dalam Gombak kerana Gombak amat luas, sedangkan kita hanya mencari kawasan yang patut dijadikan tumpuan,” kata beliau.

Selain itu, Ismail memaklumkan sebanyak 85 kes berita palsu dibuka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan enam kes telah didakwa di mahkamah.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Hahaha .. Hari tu bongok nau nk balik kmpong….
    Org kampong pun dah menyampah layan.. Dok “makan tanggung berak cangkong” ..

  2. Dah ada ahli keluarga yg kena baru nak ada kesedaran kot….kerajaan nak lindungi kita..kita ambik mudah..kan dah cari pasal..susah nk balik ke kediaman asal…pelik..memang pelik..waktu PM umum nak buat had pergerakan..jam tu berlumba nak balik kampung..tak fikir ke nak “return” nanti big l2 trouble..

Comments are closed.