HARI ini adalah Hari Ulang Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke 213. Terlalu banyak kisah suka duka, semangat dan keperwiraan pasukan untuk diangkat. Izinkan saya ingin bercerita salah satu daripadanya.

Ia mengenai sebuah kumpulan pegawai dan anggota polis terbaik yang telah ditubuhkan khas oleh PDRM bagi memburu penjenayah ‘lagenda’ – siapa lagi kalau bukan Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin!

Sebenarnya Botak Chin bukan berkepala botak, tetapi ia adalah gabungan dari tiga perkataan Hokkien iaitu Bo Tak Chin yang bererti Tiada ( Bo ), Kerja ( Tak ) Chin ( Cina ) atau Cina Tiada Kerja atau ‘jobless Chinese’. Dia terkenal kononnya ibarat Robin Hood, merompak tetapi memberi duit kepada orang miskin.

Namun tak ramai yang tahu dia berbuat demikian bagi membolehkan orang ramai menjadi ‘mata dan telinganya’. Mereka inilah yang sering memberi maklumat kepada Botak Chin tentang kehadiran pihak polis yang hendak menangkapnya. ‘Rasuah’ yang diberikan kepada orang ramailah yang menyebabkan Botak Chin selalu dapat melarikan diri daripada diberkas.

Botak Chin ni terkenal era 70-an kerana selalu terlibat dalam rompakan besar. Malah dia juga tidak ragu-ragu untuk membunuh kawannya sendiri jika ada pembelotan di kalangan mereka.

Antara rompakan terbesar yang pernah dilakukannya ialah pada 26 Oktober 1975. Ketika itu Botak Chin merompak wang tunai berjumlah RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan yang membawa duit tersebut di sebuah kelab lumba kuda di ibu negara.

Botak Chin juga kerap ke Thailand untuk membeli senjata api. Rekod polis menunjukkan dia memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 butir peluru!

Keganasannya semakin menjadi-jadi sehinggakan sanggup mengarahkan konco-konconya menembak Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur sendiri, DSP S. Kulasingam yang dilihat sebagai ancaman terbesarnya dalam melakukan kegiatan jenayah.

Untuk itu, PDRM telah menubuhkan sebuah kumpulan khas yang digelar ‘THE MAGNIFICIENT 12’ bagi menjejaki Botak Chin. Mereka adalah antara pegawai dan anggota detektif terbaik di Kuala Lumpur ketika itu.

Ia dianggotai Asisten Supritendan Gilbert Ang, Gui Poh Choon, ASP Kenny Woodworth, Bahwandi Hiralal, G. Ralingam, Ong Kim Hock, Sarjan Chong Kam Wah, Koperal Leong See Fook dan empat lagi yang saya tak dapat kesan nama mereka.

Hasilnya, dalam tempoh hanya dua minggu pasukan khas itu ditubuhkan, pada 16 Februari 1976, ‘The Magnificient 12’ berjaya mengesan Botak Chin dan konco-konconya yang ketika sedang bersembunyi di sebuah kilang papan Eng Leong Sawmill di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada pukul 10 malam, pasukan ASP Gilbert menyerbu di bahagian depan manakala pasukan Kenny menyerbu di bahagian belakang.

Lalu berlakulah kejadian berbalas tembak yang sangat bersejarah di mana akhirnya dua pengikut Botak Chin berjaya ditembak mati manakala dua lagi termasuk Botak Chin parah ditembusi peluru.

Setelah melalui proses perbicaraan, Botak Chin kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Kehebatan MAGNIFICIENT 12 akhirnya berjaya menumpaskan serta melumpuhkan terus kekejaman penjenayah Botak Chin yang telah sekian lama diburu.

Namun sayang sekali, yang sering diperkatakan oleh masyarakat adalah Botak Chin sedangkan kita terus lupa jasa-jasa ahli kumpulan ‘The Magnificient 12’ ini khususnya dan PDRM amnya.

“Kita ditipu sekian lama kononnya Botak Chin itu bagi duit untuk orang miskin, hakikatnya duit itu diberi sebagai upah kepada orang ramai agar memberi maklumat padanya jika ternampak kehadiran polis, ” kata Kenny.

(wajah terbaru Kenny (kanan) dan Bahwandi)

Beberapa tahun lepas saya sempat bertemu dengan Kenny dan Tuan Bahwandi di rumahnya di Cheras. Tuan Gilbert sudah pun meninggal dunia manakala yang lain entah di mana dan apa khabar mereka.

Jadi sempena Hari Ulang Tahun PDRM ke 213 hari ini, saya abadikan penghormatan saya khas buat mereka, satu pasukan yang telah mencatatkan sejarah tersendiri sebagai wira, wira yang dilupakan.

Salut buat The Magnificient 12! – Malaysia Gazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.