UDA memberi sumbangan barangan dan keperluan seperti televisyen dan thermopot adalah bagi kegunaan pesakit dan petugas perubatan.

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi UDA Cares apabila menyumbangkan lebih RM100,000 meliputi bantuan barangan dan keperluan bagi membantu hospital serta petugas perubatan barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Sumbangan tersebut disalurkan terus ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Hospital Sungai Buloh yang sedang dalam kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes dari semasa ke semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, pihaknya menghargai penat lelah dan usaha berterusan petugas perubatan barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani penularan Covid-19.

Jelas beliau, dengan jumlah kes yang semakin meningkat, pihak hospital semestinya memerlukan pelbagai bantuan dalam melaksanakan usaha-usaha mereka.

“Hospital Sungai Buloh antaranya bakal membuka wad tambahan dari infrastruktur dan bangunan lama bertujuan menampung jumlah pesakit yang dijangka meningkat.

“Melihat pada keperluan ini, UDA rasa terpanggil untuk membantu pihak hospital agar usaha untuk menyediakan wad tambahan yang selesa kepada pesakit dapat dilaksanakan selain membantu petugas perubatan barisan hadapan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Inisiatif ini juga selari dengan salah satu teras perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyerahan sumbangan UDA telah diserahkan kepada wakil Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Singh Dhillon.

Hospital Sungai Buloh kini dalam usaha membangunkan wad tambahan bagi pesakit Covid-19 dan dalam fasa menyiapkan serta menaiktaraf wad lama dan asrama di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Langkah menaik taraf tersebut tidak hanya membabitkan wad rawatan yang kondusif bagi pesakit Covid-19 tapi turut merangkumi tempat rehat dan bilik pejabat kepada petugas perubatan barisan hadapan.

Mohd. Salem menambah, barangan dan keperluan seperti televisyen dan thermopot adalah bagi kegunaan pesakit dan petugas perubatan.

Kata beliau, barangan dihantar ke beberapa lokasi seperti ILKKM, Pusat Kawalan Kusta Negara, Bilik Gerakan Unit Kesihatan Awam dan Bilik Gerakan Covid Hospital Sungai Buloh.

UDA juga jelasnya, dalam usaha untuk mendapatkan telefon bimbit dan set sofa bagi keperluan pihak hospital.

“Pada masa yang sama, UDA turut bekerjasama dengan syarikat infrastruktur telekomunikasi, edotco Malaysia untuk merapatkan jurang kesalinghubungan di sekitar kawasan Hospital Sungai Buloh. edotco Malaysia dengan segera telah memasang secara percuma infrastruktur khas, edotco Mobile Solution (eMOS) yang kini sudah sedia dan membolehkan pengendali rangkaian mudah alih untuk meningkatkan liputan dan kapasiti kepada pengguna.

“Pada masa sama, anak syarikat UDA, UDA Dayaurus Sdn Bhd turut mengambil bahagian dan membantu dalam proses pemasangan televisyen,” katanya.

Sementara itu, UDA turut memberikan sumbangan 250 pek makanan kepada petugas perubatan di Hospital Sungai Buloh bermula 23 mac lalu hingga 30 Mac 2020.

Bagi sumbangan 250 pek makanan semalam, ia disumbangkan oleh Pengerusi UDA, Datuk Hisham Hamdan, Pengerusi UDA bagi menghargai usaha dan penat lelah petugas hospital berkenaan yang banyak membantu sepanjang tempoh pesakit berada di hospital terutama pesakit dari agensi itu.

AnCasa Hotel Kuala Lumpur iaitu anak syarikat UDA turut menyalurkan sumbangan pek makanan kepada Hospital Sungai Buloh dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, baru-baru ini.

Untuk makluman, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, AnCasa Hotel ditutup sementara waktu namun perkhidmatan makanan dan minuman (food and beverages) beroperasi seperti biasa dan dibuka untuk penghantaran sahaja.

AnCasa Hotel sentiasa bersedia mengambil tempahan untuk tajaan pek makanan dan ingin mengajak orang ramai, organisasi serta syarikat agar dapat menyumbangkan pek makanan kepada kakitangan perubatan atau pesakit Covid-19.

Tempahan minimum adalah 30 pek dan penghantaran terus ke lokasi yang diminta. Terbaru, AnCasa Hotel turut menerima tempahan untuk sumbangan pek makanan daripada individu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya bermula semalam hingga 31 Mac ini. – MalaysiaGazette