Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini tumpuan kita untuk mengekang penularan Covid-19 adalah dengan bertahan dengan mencari individu yang terkesan dan merawatnya, kini tiba masanya penggunaan kaedah menyerang dilakukan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi perbincangan pagi ini, satu kaedah yang bakal dilaksanakan pihaknya ialah melakukan menyah kuman serta menyah virus di ibu negara.

“Ia bukan cuci tangan atau mandi seberapa kerap, tapi melibatkan tempat awam, dewan, masjid, surau, lorong kerana virus ini dikatakan melekat di mana-mana mungkin.

“Penguatkusa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya akan jalankan gerakan intensif besar-besaran membuat program menyah kuman atau menyah virus dalam bandar dalam skala besar-besaran dan ia sudah dibincangkan dengan Datuk Bandar.

“Langkah pertama tumpuan awal penyahkuman adalah di kawasan Zon Merah iaitu Lembah Pantai dan Titiwangsa,” katanya pada sidang media menerusi laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui wujud kekeliruan dalam kalangan Ahli Parlimen mengenai kawasan Lembah Pantai.

Bagaimanapun katanya, maksud Lembah Pantai dalam konteks kawalan Covid-19 ialah persempadanan perkhidmatan kesihatan.

Menurut beliau, apabila menyentuh mengenai zon merah, kebetulan Lembah Pantai dan Titiwangsa berkongsi sempadan dan menjadi jiran.

“Kawasan ini (Lembah Pantai dan Titiwangsa) DBKL akan buat penyahkuman dimana program penyahkuman kemudahan awam seperti stesen bas, mungkin juga ada dewan, jalan, lorong dan mana-mana sahaja akan dilaksanakan bermula 9 pagi pada Sabtu ini.

“Kita nak menyerang dan menghapuskan virus daripada wujud di tempat awam dalam bandaraya KL dan untuk itu kita akan menggerakkan segala aset termasuik semburan menggunakan lori tangki pada skala besar dan bersihkan kawasan tertentu terutama kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Kita akan menggunakan segala kepakaran yang ada dan ia bukan seperti fogging denggi, tetapi menggunakan bahan sesuai yang berkesan dengan pelbagai kaedah,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pihaknya akan memperkenalkan cara petugas-DBKL melibatkan diri dengan anggota bomba dan tentera termasuk kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kesemua pihak berkenaan akan menggembleng tenaga hapuskan virus dengan program diinfeksi dengan skala besar dan satu perbincangan lanjut akan diadakan esok dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertukar pandangan untuk melaksanakan kaedah baru ini,”. – MalaysiaGazette