Pengasas Halaman Nurani, Shahrul Nizam Kamal (kanan) bersama pekerjanya mengangkat makanan yang telah siap dibungkus untuk diberi kepada para pekerja yang merupakan 'frontliner' membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Jika masyarakat khuatir untuk mendekati tempat-tempat ‘hotspot’ yang berkait dengan wabak pandemik Covid-19, lain pula ceritanya dengan Abang Tukang Masak atau ATM ini.

ATM atau nama sebenarnya, Shahrul Nizam Kamal merupakan pengasas Halaman Nurani Sdn Bhd (HNSB) yang banyak terlibat dengan kerja-kerja kebajikan sejak tujuh tahun lalu.

Shahrul yang mempunyai kedai makan dikenali Makan Abang Tukang Masak di Damansara Damai begitu sibuk menyediakan makanan percuma untuk hampir 1,000 ‘frontliner’ (barisan hadapan) yang terdiri daripada pejawai perubatan, jururawat, polis, askar dan pekerja dalam perkhidmatan penting.

Para pekerja memakai sarung tangan bagi menjaga kualiti kebersihan makanan sebelum diberi kepada para pekerja yang merupakan ‘frontliner’ membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

Saban hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, lapan pekerja Makan Abang Tukang Masak dalam kalangan B40 sibuk memasak untuk menyediakan makanan tiga kali shari.

SEtelah siap, tiap-tiap hari Shahrul bersama-sama pembantunya akan menghantar makanan ke Hospital Sg Buloh setiap hari tanpa mikirkan bahaya Covid-19.

Hakikatnya beliau bersama-sama pekerja lain boleh sahaja memilih untuk duduk di rumah seperti yang lain atau hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap bisnes harian.

MalaysiaGazette yang sempat singgah ke Makan Abang Tukang Masak baru-baru ini cukup teruja menyaksikan bagaimana mereka menyediakan makanan dengan mengamalkan amalan keselamatan seperti di arah kerajaan.

“Ini bukan kali pertama HNSB terlibat dengan projek kebajikan atau amal jariah. Saya sebenarnya mendapat idea ini melalui anak saya sendiri yang menghidapi penyakit alahan kronik. Anak saya tidak boleh tersentuh, terhidu mahupun termakan apa-apa berkaitan gandum.

“Seandainya demikian, ia boleh membawa maut. Kami begitu berhati-hati dalam semua yang berkaitan malah apa yang lebih membebankan apabila untuk perubatan anak saya sahaja, kami perlukan sekurang-kurangnya RM20,000 setiap bulan.

“Beban serta penderitaan itu sukar untuk saya ceritakan. Dari situlah saya mendapat idea untuk memulakan bisnes makanan, saya mula dari rumah ke rumah manakala isteri pula masih bekerja seperti biasa.

Pekerja dilihat gigih menyediakan makanan untuk diberi kepada kakitangan awam yang merupakan ‘frontliner’ membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

“Dari situ, kami mendapat sokongan dan permintaan tinggi, menu-menunya pula makanan tempatan sehinggalah ala ‘western’. Dari situ, kita buka restoran dan saya mula mengupah golongan memerlukan seperti B40 dan ibu tunggal untuk bekerja.

“Apa sahaja keuntungan, kami guna untuk tujuan kebajikan. Hampir 21,000 orang telah mendapat manfaat sehingga kini, kebanyakan yang bekerja di restoran ini selepas dua tahun menimba ilmu serta pengalaman, dapat membukan gerai atau restoran masing-masing.

“Kita juga banyak terlibat dengan projek-projek kebajikan di beberapa negara bergolak termasuk Syria sebelum ini, perasaan itu sukar sekali untuk saya gambarkan, saya berpegang dengan kata-kata ini, jika kita mudahkan urusan yang lain, Allah akan mudahkan urusan kita juga.

“Apabila kita memberi, Tuhan bukan sahaja tambah rezeki sebaliknya rahmat kepada kita dan sekeliling, alhamdulliah, anak saya juga sihat dan sudah berusia 8 tahun,” katanya.

Pengasas Halaman Nurani, Shahrul Nizam Kamal (tengah) memberi bantuan makanan kepada ATM dan PDRM yang merupakan ‘frontliner’ membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

Ketika bercakap tentang sumbangan Covid-19 kepada para ‘frontliners’, kata Shahrul, cabarannya agak besar berbanding sebelum ini kerana negara kini berdepan dengan musibah yang tidak pasti bila ada penghujungnya.

Sebaliknya kata Shahrul, beliau sendiri kadang-kadang ‘pening’ kerana jumlah permintaan makanan yang tinggi daripada mereka yang berjuang siang malam.

Pekerja dilihat gigih menyediakan makanan untuk diberi kepada kakitangan awam yang merupakan ‘frontliner’ membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

“Restoran kami adalah makanan yang mana ianya satu keperluan atau ‘essential’, bila saya tanya kepada staf saya, adakah hendak kerja atau cuti, rata-rata mereka mahu kerja dan lakukan kebajikan.

“Kami akan menghantar sekurang-kurangnya hampir 1,000 makanan kepada hospital seperti Sg Buloh, ada juga permintaan hantar ke PPUM juga tempat-tempat sekatan jalan raya.

“Ada juga anggota tentera serta polis yang akan datang sendiri mengambil makanan yang sedia di bungkus Selain itu, kami juga bekalkan makanan kepada B40 juga secara percuma, masing-masing boleh ‘walk in’ sahaja.

“Pada mulanya kita mampu buat sendiri dengan keuntungan yang kami dapat tapi lama-lama perniagaan juga terjejas, tidak ada lagi panggilan untuk katering, jualan juga jatuh. Jadi keuntungan juga berkurangan.

“Jadi saya cari rakan kolabrasi, ada juga tampil bantu. Alhamduliah. Kita akan cuba hantar makanan sehari dua atau tiga kali, bergantung kepada kemampuan dan kami akan teruskan sehingga tamatnya PKP ini, insyaAllah.

“Pada masa sama, ketika ini kita cuba lakukan ‘cword funding’ bantuan dari masyarakat umum supaya kita boleh terus menghantar tanpa henti dan boleh menambah jumlahnya sekali

“Satu hari untuk tiga ‘meal’, kita perlukan sekurang-kurangnya antara RM9,000 sehingga RM10,000 sehari sebenarnya,” ujarnya.

Pengasas Halaman Nurani, Shahrul Nizam Kamal menunjukkan nombor akaun bank bagi membantu para pekerja yang merupakan ‘frontliner’ membendung wabak Covid-19 pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan di Kedai Makan Abang Tukang Masak, Damansara Damai, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memberi sumbangan, boleh dilakukan kepada Pertubuhan Sukarelawan HNSB Malaysia, nombor akaun Maybank 562357523369.

Jika ada pihak ingin menderma makanan seperti beras dan roti, mereka boleh ‘walk in’ ke Kedai Makan Abang Tukang Masak di Damansara Damai, sumbangan itu akan diberikan kepada golongan memerlukan. –MalaysiaGazette

TERKINI : Abang ATM Tetap Ambil Risiko Sumbang Makanan Untuk ‘frontliner C19’ Setiap Hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast