Superintendan Yusuf Shaari

KUALA LUMPUR – Kedegilan sekumpulan lelaki India yang bertindak berkumpul di hadapan rumah dan terlibat dalam pergaduhan tanpa mengendahkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya memakan diri sendiri.

Bertindak atas aduan orang awam yang tidak tahan dengan perangai kumpulan tersebut, polis bergegas ke lokasi pergaduhan dan menahan kesemua yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Kedah, Superintendan Yusuf Shaari berkata, kejadian berlaku pada Rabu 25 Mac di Taman Selasih, Kulim.

“Bertindak atas panggilan orang awam memaklumkan satu kejadian yang mana sekumpulan lelaki sedang bergaduh di Jalan 3, Taman Selasih.

“Pasukan Jabatan Sisatan Jenayah yang bertugas telah bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan itu dan sekitar 10.15 malam pasukan diketuai Inspektor Wan Muhammad Wan Ali telah membuat tangkapan terhadap 11 lelaki di hadapan rumah bernombor 175, Lorong Selasih 3, Taman Selasih, Kulim.

“Siasatan mendapati mereka bergaduh kerana perselisihan faham antara jiran. Kesalahan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau kesemua suspek adalah berusia antara 21 hingga 37 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan 7(1) PPPPB 2020 kerana mengingkar arahan PKP.

Menurutnya, polis telah mendapatkan perintah reman ke atas ke semua suspek di hadapan Pendaftar Mahkamah Kulim pagi tadi.

“Mereka akan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Mac ini dan polis sedang meneruskan siasatan mendalam ke atas ke semua individu tersebut untuk tindakan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tindakan tegas perlu diambil pada galangan yg biadap dgn penguatkuasa.
    Beri tauladan pada mereka yg biadap dgn penguatkuasa.

Comments are closed.