PUTRAJAYA – Jumlah kematian akibat wabak pandemik Covid-19 meningkat kepada 26 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes kematian ke-24 membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia.

Manakala kes ke-25 membabitkan pesakit berusia 83 yang mempunyai latar belakang sakit kronik, katanya.

Tambah beliau pesakit tersebut telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac lepas dan meninggal dunia pada pukul 6.55 petang semalam.

“Kes ke-26 pula, seorang lelaki juga warganegara Malaysia berumur 53 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 yang dirawat di Hospital Sg Buloh dan disahkan meninggal dunia pagi tadi,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, setakat 12 tengahari tadi, terdapat 130 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 2,161 kes.

“Sehingga kini, seramai 54 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Sementara itu memaklumkan terdapat 44 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan discaj dari wad sepenuhnya setakat ini adalah 259 kes,” ujarnya. – MalaysiaGazette