Boris Johnson. foto Agensi

LONDON – Perdana Menteri Britain, Borris Johnson didapati positif koronavirus dan kini sedang menjalani kuarantin di kediamannya di Downing Street.

Meskipun dikuarantinkan, Johnson berkata, beliau masih memimpin negara itu.

Johnson, 55, mengalami simptom sederhana semalam selepas menghadiri minggu soal jawab di Parlimen.

Beliau menerima keputusan ujian positif itu kira-kira tengah malam tadi.

”Saya sudah menjalani ujian dan didapati positif, suhu badan dan mengalami batuk,” kata Johnson melalui rakaman video di akaun Twitter.

Sehubungan itu, beliau kini bekerja dari rumah.

“Saya masih boleh meneruskan tugas, terima kasih kepada kecerdasan teknologi moden, saya boleh berkomunikasi dengan semua pasukan teratas untuk membendung koronavirus.”

Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock juga disahkan positif dan menjalani kuarantin di rumah.

Johnson adalah antara pemimpin yang mengumumkan keputusan ujian positif untuk koronavirus.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau juga dikuarantin awal bulan ini selepas isterinya diuji positif virus itu.

Presiden Donald Trump dan Canselor Jerman, Angela Merkel telah menjalani saringan dan didapati negatif. – MalaysiaGazette