Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Suasana di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam sudah tidak seperti biasa.

Rata-rata penghuni di kampung tersebut ‘berkurung’ di dalam rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjadikan suasana di situ sangat sunyi dan sepi.

Tiada lagi kelibat penduduk lalu lalang, jauh sekali kenderaan melintasi di hadapan rumah sepanjang hari pertama pelaksanaan PKPD di situ.

Semua aktiviti berlangsung di dalam rumah, manakala pasukan polis dan tentera mengetatkan kawalan bagi memastikan penduduk yang terdiri daripada 350 keluarga itu mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan.

Bagi Asbar Sulaiman, 54, dari Kampung Kurnia, Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid Simpang Renggam, apa yang terjadi ada hikmahnya sambil menyifatkan PKPD juga sebagai ruang untuk mereka sekeluarga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, kakitangan Jabatan Penjara itu memberitahu, beliau bersama isteri dan anak-anak akur dengan perintah yang dikeluarkan kerajaan sehingga 9 April walaupun berasa sedikit risau dengan perkembangan semasa.

Katanya, biarpun penduduk di situ menjalani perintah PKPD namun keadaan di situ seperti biasa cuma mereka tidak dibenarkan keluar bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang kini telah mengorbankan 26 nyawa.

Satu lagi kampung terlibat di Simpang Renggam yang terlibat dengan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Ini berikutan terdapat 88 kes positif wabak Covid-19 dikesan di daerah Kluang dengan 74 daripadanya dikesan di kedua-dua kampung yang diarah menjalani perintah ‘berkurung’

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengesan empat kluster di daerah itu dan ia disyaki berasal dari jemaah ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling.

Bercerita lebih lanjut, Asbar memberitahu, pihak berkuasa yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat dijangka mengagih-agihkan barangan keperluan berserta makanan kepada penduduk yang terlibat.

Katanya, proses pengagihan itu dijangka dilakukan secara berperingkat, bagaimanapun beliau tidak bimbang kerana barangan keperluan di rumahnya telah dibeli sejak beberapa hari lalu.

Lebih daripada itu, katanya, beliau juga ada bercucuk tanam sayur-sayuran di kawasan rumah jadi tidak ada masalah terputus bekalan makanan.

Ditanya aktiviti yang dijalankan di dalam rumah pada hari pertama PKPD, Asbar berkata, selepas solat Subuh beliau sekeluarga melakukan kerja-kerja membersihkan rumah dan memastikan setiap penjuru rumah bersih daripada sebarang kekotoran.

“Di sebelah petang saya berehat menonton televisyen dan memerhatikan anak-anak melakukan aktiviti masing-masing,” katanya.

Salah seorang anaknya yang menuntut di matrikulasi kini berada di rumah sibuk membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan tidak lama lagi manakala yang bongsu pula di Tahun 6.

Seperti mana penduduk di kampung tersebut, Asbar juga akan menjalani saringan dan gilrannya adalah hari ini untuk memastikan beliau benar-benar bebas dari jangkitan Covid-19.

Ditanya tentang punca wabak tersebut di kampung itu, beliau mengakui tidak tahu mengenainya dan hanya mendapat tahu ada kes positif Covid-19 di situ baru-baru ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP untuk mengelak keadaan menjadi lebih parah sehingga PKPD terpaksa dikuatkuasakan.

“Jangan ingkar, bila dah kena macam ini memang rasa susah sikit. Saya berdoa supaya Covid-19 ini cepat berlalu, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah,” katanya. – MalaysiaGazette