PAK IBENG (bukan nama sebenar), tetapi watak sebenar yang masih hidup. Dia seorang pemandu pelancong di kota wisata Bandung, Indonesia sejak enam tahun lalu.
Kerja rutinnya mengambil pelancong dari Lapangan Terbang Husein Sastranegara Bandung. Jika pelancong berkenaan berkunjung ke Bandung sekitar tiga hingga lima hari, itulah sumber rezeki beliau.
Pak Ibeng bekerja dengan syarikat agensi pelancongan dan dia diberi upah berdasarkan jumlah hari bekerja. Ertinya, ada kerja ada gaji.
Jika di Malaysia watak Mak Cik Kiah tiba-tiba popular menjadi sebutan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan beliau anekdot pengkisahan ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Jumaat lalu, watak Pak Ibeng lebih benar dan terpaksa menempuh masa sukar ketika krisis Covid-19 ini.
Sekelip mata Lapangan Terbang Husein Sastranegara menutup operasi, perkhidmatan pelancongan terjejas, manakala perintah duduk di rumah untuk satu tempoh yang panjang bagi mengekang Covid-19 menjejas periuk nasi ramai orang seperti beliau.
Watak Mak Cik Kiah mungkin benar-benar wujud di Malaysia dan jika wujud, ia memang ada persamaan nasib dengan Pak Ibeng. Cuma Mak Cik Kiah berpeluang menerima insentif sumbangan kerajaan sehingga melebihi RM4,000.
Namun, tidak bagi Pak Ibeng yang terpaksa menyara keluarga bersendirian. Isterinya suri rumah sepenuh masa dan tiga anak-anaknya masih kecil, ada yang masih menyusu dan ada yang berada di bangku sekolah.
Dia tidak berpeluang untuk menerima sebarang bantuan. Ada kerja, ada gaji ertinya bila tiada kerja poketnya kosong. Perutnya tetap lapar.
Mungkin ramai lagi yang senasib Pak Ibeng, malah situasi lebih gawat terutama bagi mereka yang tiada pekerjaan langsung, pekerja kontrak dan bergaji harian serta gelandangan yang hidup mereka amat tidak menentu saat ini.
Baik di Malaysia, Indonesia atau di mana-mana negara sekalipun, wabak Covid-19 ini sudah berkalih menjadi isu kemanusiaan dan keinsanan. Isu pokoknya ialah persoalan ekonomi. Soal mengisi perut yang secara alami pasti lapar perlu makanan paling kurang tiga kali sehari, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.
Biar pun sekadar ada nasi, telur dadar goreng dan kicap, keperluan itu mesti dipenuhi. Tragis jika ada insan yang terpaksa menanggung kelaparan akibat krisis ini.
Satu tampalan video dikirim sahabat penulis lebih menyayat dilaporkan di India. Ramai gelandangan yang hanya menunggu ihsan mana-mana pihak untuk mendapatkan makanan akibat kehilangan pekerjaan.
Rata-rata mereka tiada rumah dan hanya menadah bantuan untuk sesuap nasi. Mereka tiada tempat untuk dituju, kecuali duduk pasrah menanti di tepi jalan raya atau di bawah pokok.
Bayangkan sebuah negara seperti India yang mempunyai penduduk lebih satu bilion atau di Indonesia dengan jumlah lebih 260 juta penduduk. Pastinya mengurus persoalan ekonomi, mengisi perut rakyat lebih rencam, rumit dan ruwet.
Maka, pujian wajar diberi terhadap inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia seperti persatuan penduduk, jawatankuasa masjid dan surau atau mana-mana badan bebas yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan golongan susah yang memerlukan bantuan pada saat kritikal ini.
Bantuan berupa barangan asasi seperti beras, susu, gula, tepung, sardin, telur, teh, kopi, dan minyak masak amat memadai dan dikira mencukupi untuk mengalas perut yang lapar. Bolehlah mereka menikmati makanan ketika orang lain yang lebih mampu sedang bergembira bersama keluarga.
Situasi kini masih mencabar. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung sehingga 14 April menandakan wabak ini berada di tahap kritikal atau memerlukan langkah pembendungan yang lebih agresif.
Jika tidak dibendung, ia boleh mengundang musibah, krisis dan kemelut lebih besar apabila ramai lagi nyawa yang terancam atau terkorban. Perintah agar duduk di rumah meskipun bukan pilihan yang digemari umum, tetapi itulah pilihan terbaik bagi mengekang rantaian virus ini.
Pastilah ada kesan yang terpaksa ditanggung, khususnya ekonomi yang terjejas, kebimbangan psikologi rakyat dan pergerakan yang kini amat terbatas. Namun, keutamaan semasa ialah menyelamatkan nyawa manusia dan memerangi perlawanan menentang virus supaya aktiviti kehidupan kita boleh kembali pulih dan berjalan seperti biasa secepat mungkin.
Jika senario Pak Ibeng, Mak Cik Kiah dan jutaan lagi manusia tidak bernasib baik terpaksa menempuh masa-masa sukar ini, maka sekarang bukan masanya bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan, bersikap oportunis dan mempolitikkan isu-isu yang tidak relevan ketika lebih ramai rakyat terpaksa menanggung derita dan sengsara.
Krisis Covid-19 sudah merentas sempadan ideologi, agama, bangsa, politik, dan negara. Nyahkan seketika ego politik, ideologi atau kepentingan puak kerana nyawa manusia paling kritikal ketika ini. Perut lapar jauh lebih penting berbanding perlawanan politik tanpa kesudahan.
Mesejnya jelas. Fokus kepada isu melawan Covid-19, tumpu kepada pengukuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan terpenting pulihkan keyakinan rakyat untuk terus berani menghadapi masa ke muka yang pastinya lebih mencabar, berbeza dan tidak lagi sama.
Meminjam istilah Richard Florida, Professor Pengurusan dari Universiti Toronto, Kanada, kita akan melalui fasa “The Great Reset”. – MalaysiaGazette
Penulis, Mohd. Shah Abdullah bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan