KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu kebajikan warga peneroka Felda dan menyokong perniagaan organisasi itu untuk terus cekal dalam menghadapi situasi ini.

Felda berkata, pakej tersebut adalah menyeluruh, menepati golongan sasaran, dan sangat berpaksikan rakyat yang bakal meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi kesan daripada pandemik Covid-19.

Antara inisiatif-inisiatif yang disebut dalam pakej itu termasuk pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 billion kepada pekerja swasta, peneroka, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah dan penerusan projek-projek infrastruktur di kawasan Felda, yang diumumkan dalam pakej sebelum ini.

”Insentif yang diumumkan adalah tepat pada masanya, amat strategik, menyeluruh dan melindungi kebajikan rakyat. Ia semestinya akan membantu meringankan beban warga peneroka Felda yang amat terkesan dari situasi sekarang.

”Ini sedikit sebanyak menjadi pelengkap kepada inisiatif-inisiatif yang sedang dijalankan di setiap kawasan rancangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette