Operasi disinfeksi di Sungai Ramai bermula.

KAJANG – Pelbagai agensi hari ini berpadu tenaga untuk menjalankan operasi disinfeksi (nyahkuman) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di kawasan Sungai Ramal yang kini dikategorikan sebagai Zon Merah.

Agensi yang berkaitan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Alam Flora.

Turut terlibat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), SWCorp, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Operasi yang melibatkan 150 para petugas itu sepatutnya bermula jam 8 pagi tadi terpaksa dihentikan seketika kerana hujan lebat dan kemudian diteruskan dua jam selepas itu.

Para petugas pembersihan dan nyahkuman serta kumpulan media diwajibkan memakai Kelengkapan Keselamatan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) antaranya dua lapis sarung tangan, but khas dan penutup muka dan mulut serta cermin mata khas.

Kawasan disinfeksi di Sungai Ramal, Kajang meliputi keluasan 500 meter radius di sekitar Masjid Al Falah.

Ia meliputi empat buah bangunan awam antaranya Surau Al Umm, Surau Al Amin, dan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal dan Sekolah Rendah Agama Sungai Ramal.

Untuk rekod, Sungai Ramal terletak dalam daerah Hulu Langat yang merupakan zon merah bagi Covid-19. -MalaysiaGazette