Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia meningkatkan pembayaran dividen kepada kerajaan kepada RM3.5 bilion tahun lepas berbanding RM2.5 bilion pada 2018.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, penambahan bayaran dividen itu dibuat selepas bank pusat merekodkan lonjakan pendapatan keseluruhan sebanyak 19.6 peratus sekali gus merekodkan untung bersih sebanyak RM8.9 bilion pada 2019.

Manakala dalam Laporan Tahunan BNM 2019, bank pusat itu merekodkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM9.3 bilion pada 2018.

Perbelanjaan harian meningkat 22 peratus kepada RM2.16 bilion manakala untung bersih melonjak 18 peratus kepada RM8.93 bilion pada 2019.

Daripada jumlah tersebut, RM5.4 bilion dipindahkan ke rizab risiko BNM dan baki RM3.5 bilion akan dibayar kepada kerajaan sebagai dividen.

“Rizab risiko ini bertindak sebagai penampan penting kewangan sekiranya berlaku sebarang peningkatan kerugian yang tidak dijangka akibat situasi pasaran yang teruk dan di luar kawalan kami,” katanya.

Ini termasuk pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat serta negara-negara maju lain; ketidaktentuan tukaran asing dan pasaran ekuiti global.

Tambahnya, setakat 31 Disember lalu, jumlah keseluruhan aset Bank Negara meningkat kepada RM451.6 bilion berbanding RM447.6 bilion tahun sebelumnya.

Portfolio rizab antarabangsa mewakili 94 peratus daripada jumlah keseluruhan aset.

Jelasnya, liabiliti BNM kebanyakannya datang daripada deposit oleh institusi kewangan iaitu sebanyak RM163.7 bilion dan kitaran mata wang sebanyak RM114.1 bilion.- MalaysiaGazette