Semalam tular di laman sosial menunjukkan rakyat Malaysia antara warga asing yang dikuarantin di India kerana disyaki dijangkiti Covid-19 dengan seorang daripadanya didapati positif.-FB Hishammuddin.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memaklumkan rakyat Malaysia yang berada di India kini dikuarantin oleh pihak berkuasa negara itu.

Beliau berkata, langkah itu diambil ekoran mereka didapati berada di Markaz Nizamudin yang merupakan salah satu daripada kawasan di India yang berhampiran tempat perhimpunan tabligh yang berisiko tinggi dengan Covid-19.

“Ramai tanya saya berkenaan video yang tular mengenai rakyat Malaysia di India semalam.

“Saya ingin maklumkan bahawa rakyat Malaysia tersebut telah dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana mereka berada di Markaz Nizamudin salah satu kawasan di India yang berhampiran dengan tempat perhimpunan tabligh yang berisiko tinggi menularnya Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Hishammuddin, Wisma Putra telah berhubung dengan kerajaan India khususnya Kementerian Luar India di mana mereka berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya dalam perkara tersebut.

Tambah beliau, pihaknya mahu agar isu tersebut diselesaikan secepat mungkin dan beliau turut mahu mendapatkan sebab sebenar di sebalik kejadian ini berkenaan.

Semalam tular di laman sosial menunjukkan rakyat Malaysia antara warga asing yang dikuarantin di India kerana disyaki dijangkiti Covid-19 dengan seorang daripadanya didapati positif.

Mereka ke India baru-baru ini untuk menyertai perhimpunan pertubuhan Tabligh Jamaat di negara itu.

Perhimpunan itu dihadiri warga asing dan penduduk tempatan, diadakan di pusat Tabligh di New Delhi.

Seramai 2,361 orang dipindahkan dari ibu pejabat Tabligh itu yang juga dikenali sebagai Markaz, terletak di Nizamuddin. – MalaysiaGazette