Penempatan gelandangan sementara bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Mahu mahu maklumat tentang latar belakang gelandangan yang diletakkan di empat buah pusat penempatan dikumpul bagi membolehkan pihaknya membantu golongan itu pada masa hadapan.

Ujarnya dengan cara tersebut, keluarga golongan tersebut  akan dapat dikesan.

Pada masa sama ia juga akan dapat membantu kerajaan mengetahui earga negara gelandangan yang melayakkannya menerima bantuan daripada kerajaan.

“Saya minta janganlah mereka duduk sahaja tanpa kita membuat beberapa perkara, misalnya mengambil data-data peribadi mereka supaya kita mungkin dapat menjejaki saudara mereka, menghubungi keluarga mereka yang tidak tahu mereka ada di situ.

“Kita juga mungkin dapat melihat mereka ini layak dapat bantuan atau tidak sara hidup atau yang diumum Perdana Menteri misalnya. Termasuk yang kehilangan kad pengenalan. Mungkin sesuatu boleh diusahakan,” katanya ketika memberitahu perkembangan semasa usaha Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan menerusi akaun Facebook yang bersiaran secara langsung hari ini.

Beliau memaklumkan seramai 587 gelandangan ditempatkan di lima lokasi iaitu Pusat Komuniti Sentul Perdana, Dewan Serbaguna Ampang Hilir, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Seri Delima Kepong.

Daripada 587 gelandangan, seramai 507 orang adalah warganegara Malaysia, katanya.

Annuar berkata, selain bekalan makanan diberikan sebanyak enam kali sehari di semua pusat penempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat perkara lain dipertimbangkan khususnya cadangan menyediakan kubikal kepada gelandangan wanita dan mereka yang mempunyai anak kecil. – MalaysiaGazette