Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan surat pembatalan berkuatkuasa serta merta ke atas sebuah kilang minuman keras yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjelaskan perkara itu pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini berkata, dengan pembatalan itu tidak timbul lagi isu kilang minuman keras diberi kebenaran beroperasi.

“Semalam, berlegar di media sosial, aplikasi Whatsapp, Facebook dan pelbagai medium lagi mempersoalkan mengenai kilang arak yang mendapat surat pelepasan.

“Hari ini, dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan membuat keputusan kelulusan itu terbatal dan dibatalkan.

“MITI akan keluarkan surat pembatalan serta merta. Jadi, tak timbul isu lagi pasal kilang ini beroperasi,” katanya.

Semalam, tular di media sosial sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada kilang terbabit beroperasi ketika PKP.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan kontroversi dalam kalangan pengguna media sosial kerana menganggap minuman keras bukan makanan penting dalam tempoh PKP. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tok sah nak tipu rakyatlah. Cakap konon Menteri tak tahu menahu. Surat kebenaran tu betul lah di tanda tangani oleh KP Kementerian tapi keputusan dan arahan mesti dari “upstars”. KP ikut arahan saja. Tak logik KP buat keputusan sendiri. Lagi pula ia melibatkan 2 Kementerian -MITI dengan KDNHEP. Ini samdul punya kerajaan PN pintu belakang yang dipenuhi oleh Menteri Melayu/Islam boleh buat carca marba dalam krisis tak taulah apa arahan sekiranya dalam keadaan aman. Doraemonlah, air suamlah, Heinekkenlah lepas ni suami kena buat suara Optimus Prime kot?
    Tetapi saya agaklah ada Menteri yang dok kempunan minum bir Henekken atau makan rasuah.

Comments are closed.