Boris Johnson. foto Agensi

LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson telah dipindahkan ke unit rawatan rapi selepas simptom koronavirus yang dialaminya semakin teruk.

Johnson dimaklumkan masih dalam keadaan sedar.

Meskipun Britain belum merancang penggantinya secara rasmi tetapi Johnson, 55, telah meminta Setiausaha Luar, Dominic Raab memangku jawatananya.

Johnson telah dimasukkan ke hospital pada malam Ahad lalu dan telah menjalani saringan selepas mengalami simptom-simptom koronavirus termasuk demam panas lebih 10 hari.

Pejabat Downing Street berkata, beliau masih dalam keadaan baik walaupun tahap kesihatannya menurun pada awal petang dan dipindahkan ke unit rawatan rapi pada jam 8 malam.

Kini beliau dirawat di Hospital St Thomas.

“Keadaan Perdana Menteri semakin buruk dan beliau dinasihatkan untuk dirawat di unit rawatan rapi.

“Pada masa ini beliau masih dalam keadaan sedar,” menurut jurucakap pejabatnya.

Downing Streer berkata, Johnson dipindahkan ke unit itu bagi membolehkan beliau mendapat bantuan pernafasan dalam usaha memulihkannya. – MalaysiaGazette