Gambar hiasan

Acara tahunan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2020 yang sepatutnya diadakan pada 13 dan 14 Jun ini dibatalkan.

Perkara itu diumumkan oleh penganjur KLSCM, Dirigo Events dalam satu kenyataan.

“Dirigo Events dengan ini mengumumkan pembatalan acara KLSCM 2020 memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin teruk,” kata kenyataan itu.

Penganjur berkata, peserta yang telah mendaftar untuk acara itu tahun ini akan didaftarkan secara automatik tahun hadapan.

KLSCM 2021 akan diadakan sekitar tarikh yang sama iaitu minggu kedua bulan Jun 2021.

Namun penganjur perlu menunggu keputusan dan kebenaran pihak berkuasa tempatan sebelum mengumumkan tarikhnya nanti.

Penganjur turut memaklumkan semua acara sampingan KLSCM termasuk klinik larian, pengambilan baju (Race Entry Pack Collection), dan Ekspo Gaya Hidup Aktif juga dibatalkan.

Acara amal Run For A Reason akan diteruskan hingga 14 Mei ini dan semua dana terkumpul akan terus disalurkan kepada badan-badan amal yang telah diumumkan sebelum ini. – MalaysiaGazette