Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun Twitter bernama Fazrin Ismail akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta pagi ini oleh polis atas kesalahan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan telah dimulakan ke atas suspek pada 28 Mac lalu melibatkan kenyataan Fazrin Ismail yang memuat naik perkataan jelik serta penghinaan terhadap baginda.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Pada 3 April lalu, suspek telah ditahan dan direman mulai 4 hingga 7 April 2020 (Selasa) dan hasil siasatan kesemua lapan posting tersebut mendapati telah menghina dan menggunakan perkataan kesat terhadap baginda Al-Sultan Abdullah (Offensive in Character with intent to abuse),” katanya dalam kenyataan media tengah malam tadi.

Posting pemilik twitter yang didakwa menghina YDPA dengan kata kesat bakal dituduh pagi ini di mahkamah Jalan Duta.

Seterusnya kata beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan lapan pertuduhan akan dibuat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 6, Kuala Lumpur pada 8 April 2020 (Rabu) untuk prosiding pertuduhan.

“Bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, polis menggesa orang ramai agar berpegang teguh kepada prinsip rukun negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin, termasuk berita yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan,perasaan permusuhan serta mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“PDRM juga tidak akan berkompromi dan sebaliknya tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Salam. Sudah sewajarnya pihak penguatkuasa spt PDRM dan agensi2 kerajaan yg lain bertindak tegas tetapi berhemah ke atas pesalah2 yg melakukan perbutahan yg menyalahi undang2, tanpa pandang bulu, spt yg berlaku di zaman pemerintah singkat rejim diktator PH. Ini juga antara cara utk mengembalikan keyakinan rakyat kpd sistem undang2 dan pentadbiran yg telus agar pihak2 yg bersalah memikul tanggungjawab ke atas kesalahan masing2.

Comments are closed.