Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masuk ke bangunan Selangor Mansion untuk membuat saringan pemeriksaan ke atas penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ke- 22 berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kebajikan warga asing di tiga bangunan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak akan diabaikan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan memaklumkan perkembangan semasa  kepada kedutaan India, Pakistan dan Bangladesh mengenai warga mereka yang merupakan penghuni majoriti Menara City One, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

“Semalam saya telah bertemu duta dan wakil duta dan wakil India, Pakistan dan Bangladesh.

“Kita memberi jaminan bahawa kita akan sentiasa beri perkembangan kepada ketiga-tiga kedutaan ini kerana melibatkan lebih daripada 5,000 warga dari tiga negara ini sahaja,” katanya ketika sidang media perkembangan harian Wilayah Persekutuan hari ini.

Ketiga-tiga bangunan ini kini dikawal ketat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi dalam satu lokaliti kecil.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama dengan peniaga untuk menyediakan sebuah khemah menjual bekalan makanan asas bagi kegunaan penghuni ketiga-tiga bangunan tersebut.

Khemah akan ditempatkan di kawasan berdekatan bangunan terbabit.

Jelas beliau, ini adalah cara yang boleh dilaksanakan agar tidak ada penghuni bangunan itu kehabisan makanan.

Namun katanya, bilangan penghuni yang dibenarkan keluar membeli di khemah itu akan dikawal serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jadi yang terpaksa keluar untuk membeli makanan untuk memasak mereka akan dibawa keluar secara berkumpulan mungkin 10 orang akan ada khemah di dekat situ yang akan jual barang asas mungkin beras, gandum, minyak, telur,” jelasnya.

Meskipun cara ini dilihat sedikit rumit, namun ia adalah penyelesaian terbaik pada waktu ini berbanding membenarkan penghuni bebas keluar masuk dari kediaman yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 yang membimbangkan.

Sehubungan itu Annuar berharap agar penghuni bangunan tersebut yang majoriti adalah warga asing supaya memberikan kerjasama yang baik kepada petugas yang berada di kawasan tersebut.

Demi memudahkan pemahaman semua warga asing, katanya,  Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuat hebahan dalam pelbagai bahasa mengenai penjualan bekalan makanan melalui khemah itu. – MalaysiaGazette