Angka korban akibat Covid-19 bertambah setiap hari. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 156 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi dan dua kematian lagi dicatatkan untuk tempoh yang sama.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,119 kes dan 65 kematian.

Ketua Pengarah Kesihata, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit yang sembuh dan discaj pula sebanyak 166 kes iaitu lebih tinggi daripada pesakit baharu.

Jumlah ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,487 kes (36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 76 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan laporan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) melaporkan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi,” kata Noor Hisham dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di sini.

Mangsa dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30  Mac lalu dan disahkan meninggal dunia petang semalam.

Kes kematian ke-65 (kes ke-1906), tambah Noor Hisham, adalah lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun.

Mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu. Mangsa disahkan meninggal dunia pada pagi tadi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette